Bukan warganegara dikehendaki bayar caj kuarantin di pintu masuk antarabangsa - Nadma
Bernama
November 16, 2020 05:03 MYT
November 16, 2020 05:03 MYT
PUTRAJAYA: Individu yang ingin memasuki Malaysia yang telah menandatangani borang Letter of Undertaking (LoU) dan menerima Notis Perjalanan, seharusnya memahami dan akur dengan garis panduan ditetapkan kerajaan Malaysia, termasuk mengkehendaki bukan warganegara membuat bayaran caj kuarantin di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata kerajaan telah mengeluarkan arahan bagi individu bukan warganegara untuk membuat bayaran caj kuarantin di PMA, termasuk caj pengurusan/pentadbiran sebaik ketibaan, ekoran terdapat banyak kes di mana Person Under Surveillance (PUS) bukan warganegara yang berada di stesen kuarantin, gagal membayar caj sehingga tarikh akhir tempoh kuarantin.
Menurut Nadma, bagi bukan warganegara termasuk tanggungan kepada warganegara, dicaj RM150 sehari seorang berdasarkan kepada tempoh kuarantin di premis hotel, sebagaimana yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan serta caj pentadbiran dan pengurusan kuarantin sebanyak RM2,600.
Secara keseluruhannya, Nadma berkata seorang bukan warganegara perlu membayar RM5,070 termasuk RM250 ujian PCR (polymerase chain reaction) sebaik ketibaan dan RM120 bagi ujian RTK (antigen rapid test kits) pada hari ke-13.
"LoU yang ditandatangani mengandungi ikrar dan aku janji akan membayar semua caj yang dikenakan (ada dijelas dengan terperinci dalam garis panduan)," kata Nadma dalam satu kenyataan pada Isnin, berhubung proses kemasukan dan kuarantin PUS bukan warganegara yang tiba dari luar negara, di sini pada Isnin.
Nadma juga menjelaskan, bagi penumpang bukan warganegara Malaysia yang gagal mengemukakan Notis Perjalanan, Jabatan Imigresen (JIM) berhak untuk mengeluarkan perintah 'Not-to-Land' (NTL).
Katanya, sebelum memasuki Malaysia, individu perlu mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan Jabatan Imigresen atau agensi kerajaan, di mana setiap pemohon perlu menghantar dokumen berkaitan bersama-sama LoU lengkap melalui e-mel Perwakilan Malaysia yang ditauliahkan, selewat-lewatnya tiga hari sebelum tarikh berlepas, dan jika lulus, Notis Perjalanan akan dikeluarkan oleh Perwakilan Malaysia.
Sejak 24 Julai 2020, kerajaan memutuskan bahawa semua individu yang baru pulang dari luar negara dan memasuki Malaysia, akan dikenakan perintah kuarantin wajib di stesen kuarantin yang telah diwartakan berdasarkan kepada peruntukan di bawah subseksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), selaras dengan hasrat serta usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.
Berikutan arahan itu, semua individu yang baru pulang dari luar negara dan memasuki Malaysia melalui semua PMA, perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin.
Sejak arahan itu berkuatkuasa, Nadma berkata ia telah menerima beberapa aduan berkaitan pembayaran bagi bukan warganegara Malaysia.
-- BERNAMA
#kuarantin
#bukan warganegara
#Notis Perjalanan
#Pintu Masuk Antarabangsa
#Agensi Pengurusan Bencana Negara
#NADMA
#borang
#Letter of Undertaking
#Lou
#garis panduan
#Caj kuarantin
#PUS
#stesen kuarantin
#Aku Janji
#Not-to-Land
#perintah NTL