Bukan warga Malaysia masuki Sarawak dari luar negara perlu jalani kuarantin

Bernama
Julai 28, 2020 05:23 MYT
Sarawak merekodkan 25 kes positif COVID-19 pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini sebanyak 675 kes. - Gambar fail
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan semua bukan warganegara Malaysia yang ingin memasuki Sarawak dari luar negara, tidak perlu menjalani ujian RT-PCR sebelum berlepas dari negara asal, namun perlu dikuarantin sebaik tiba.
Timbalan Ketua Menteri, merangkap pengerusi jawatankuasa itu Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sebaik tiba di Sarawak, mereka akan dikuarantin selama 14 hari dan diambil ujian RT-PCR pada hari kedua dan hari ke-10, dengan kos kuarantin dan ujian ditanggung sendiri.
Beliau berkata untuk pekerja industri minyak dan gas; bagi warganegara Malaysia dari Semenanjung (Malaysia), Labuan, Sabah dan warganegara asing; mereka akan berada di pusat kuarantin selama 14 hari, dan ujian RT-PCR akan diambil pada hari kedua dan ke-10.
"Sekiranya negatif, mereka akan dibenarkan untuk ke pelantar," katanya pada sidang media harian JPBN di Bangunan Lama Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.
Sarawak merekodkan 25 kes positif COVID-19 pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini sebanyak 675 kes.
Satu kluster baharu yang dikenali sebagai kluster Pasar Satok telah diisytiharkan oleh Kementerian Kesihatan, dengan jumlah keseluruhan kluster COVID-19 yang masih aktif di Sarawak adalah 10.
Uggah seterusnya mengumumkan Daerah Kuching kini bertukar status dari zon Kuning kepada zon Merah selepas 16 kes tempatan baharu dilaporkan di Kuching, menjadikan kini jumlah keseluruhannya sejak 14 hari lepas menjangkau 53 kes.
"Daerah Samarahan, Serian, Bau dan Lundu pula bertukar status daripada zon Hijau kepada zon Kuning. Daerah yang masih berstatus hijau kini berjumlah 35 daerah," katanya.
Semalam JPBN Sarawak mengumumkan dalam tempoh 1 hingga 14 Ogos, operasi peniagaan di Zon Satu (zon Kuning/Merah COVID-19) iaitu Kuching, Samarahan dan Serian dihadkan dari pukul 6.00 pagi sehingga 10 malam.
"Ia memang amat menyedihkan kerana kita terpaksa mengenakan langkah ini sekali lagi. Kita faham bahawa banyak perniagaan akan terjejas teruk dengan langkah ini, namun ia perlu dilakukan bagi membolehkan kita mengawal penularan jangkitan ini," katanya.
-- BERNAMA
#bukan warganegara #COVID-19 #Douglas Uggah Embas #industri minyak dan gas #kes tempatan #kluster #kos #kuarantin #Kuching #Labuan #luar negara #Pasar Satok #Pekerja #rakyat Malaysia #Sarawak #Semenanjung Malaysia #Ujian rT-PCR #ujian saringan #warganegara #zon merah
;