Bukan undang-undang tahan tanpa bicara sepenuhnya, kata Zahid
Aizat Sharif
Oktober 3, 2013 17:26 MYT
Oktober 3, 2013 17:26 MYT
Kerajaan tidak mahu semua pihak melihat kelulusan Rang Undang-Undang Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 sebagai suatu proses tahanan tanpa bicara sepenuhnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan telah mengambil beberapa pandangan yang telah dilontarkan oleh ahli-ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat terutamanya mereka yang mempunyai latarbelakang profesion sebagai peguam dan beliau terbuka untuk setiap juga perbincangan diadakan jika ada kesesuaian dalam meminda akta tersebut.
“Walaupun, saya telah menjelaskan beberapa kali bahawa terdapat badan pencegahan jenayah sebagai badan yang akan menjatuhkan hukuman terhadap setiap penahanan. Harus diingat, penahanan ini adalah penahanan berbentuk ‘preventive’ atau pencegahan,” kata Zahid ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau menambah, Mahkamah Tinggi merupakan pihak yang akan memuktamadkan keputusan oleh badan pencegahan jenayah.
“Pembangkang seringkali membangkitkan mengenai ketidakadilan hak asasi manusia dalam akta tersebut namun, bagaimana pula hak asasi mereka yang menjadi mangsa perbuatan jenayah seperti kongsi gelap, bagaimana pula hak asasi anggota polis yang terbunuh atau tercedera kerana perbuatan si penjenayah itu,” katanya lagi.
Beliau turut mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kelulusan rang undang-undang itu sebagai mencabul hak asasi manusia tetapi beliau tidak akan membawa protes terhadap akta tersebut ke jalanan.
“Pada pendapat saya, tindakan beliau untuk tidak melakukan apa-apa jua protes ke jalan raya itu tepat dan banyak lagi caranya untuk kita membincangkan untuk meminda beberapa dasar dalam akta ini,” kata Zahid.
Ketua Pembangkang di Parlimen yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya sebelum itu menyifatkan rang undang-undang tersebut sebagai mengenepikan prinsip-prinsip keadilan dan mencabul kak asasi manusia kerana pindaan tersebut membolehkan penahanan tanpa bicara.
“Seksyen 19A dalam akta ini terdedah kepada salahguna kerana bukan sahaja maksud penahanan tanpa bicara digunakan untuk kes-kes jenayah tetapi juga untuk maksud keselamatan dan ketenteraman awam yang saling dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti politik kepartian,” kata Anwar.
Tambahnya lagi, pindaan akta tersebut juga memperuntukkan Seksyen 15A yang menafikan semakan kehakiman di mana-mana mahkamah.
“Kita tiada kompromi dalam soal pembanterasan jenayah namun ianya perlu ditangani dengan berkesan secara profesional oleh pasukan polis. Hakikat yang berlaku sekarang, ialah pembunuhan, rompakan, samun, rasuah dan salah guna kuasa berada di tahap yang parah dan perlu ditangani,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Pakatan Rakyat mengesyorkan supaya 11 kepentingan dari 125 syor-syor yang dirumuskan Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia 2005 dilaksana.
Selain itu, menurutnya lagi undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat merupakan undang-undang yang sudah lapuk dan terbukti tidak berkesan sebagai mekanisma untuk membanteras jenayah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan bahawa rang undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang telah diluluskan semalam sebagai mampu untuk menangani masalah jenayah yang serius.
“Kita sedia maklum, terdapat 40,000 orang yang terlibat dengan gangster dari pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India dan semua perkara ini perlu ditangani dengan segera
Menurutnya, jenayah serius ini bukan hanya melibatkan mangsa-mangsa ada yang ditembak tetapi juga pergaduhan-pergaduhan melibatkan kumpulan-kumpulan seperti ini mewujudkan suasana yang berbahaya.
“Mereka bergaduh sesama sendiri dan orang lain yang menjadi mangsa jadi dengan kelulusan akta ini akan mampu membantu menangani masalah jenayah yang berleluasa,” kata beliau lagi.