Bukan Tun M, tapi Syed Saddiq punca PH kalah - Syaiful Irfan Anang
Harits Asyraf Hasnan
November 17, 2019 16:35 MYT
November 17, 2019 16:35 MYT
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipersalahkan susulan kekalahan PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada Sabtu.
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu, Syaiful Irfan Anang berkata, punca sebenar kekalahan PH adalah disebabkan oleh kegagalan Syed Saddiq memanfaatkan sepenuhnya jentera pemuda PH yang dianggotai empat parti.
Syaiful Irfan juga menolak keras kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali yang menyifatkan kekalahan di Tanjung Piai memperlihatkan kekecewaan rakyat terhadap PH, terutamanya kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ketua Pemuda PH tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai ketua sayap kepada gabungan empat parti apabila gerak kerja dan mobalisasi bagi jentera pemuda PH berada pada tahap yang sangat lemah walhal pemuda PH seluruh Malaysia menunjukkan semangat yang tinggi untuk berbakti namun kepimpinan memperlihatkan kelemahan di dalam sistem tadbir urus dan berorganisasi.
"Teguran perlu diberikan kepada beliau kerana realitinya pada PRK sebelum ini dan kali ini PH mengalami kekalahan yang sangat mendukacitakan kerana rakyat Johor telah memilih untuk tidak mengundi PH juga kerana pelbagai isu yang terpalit dengan beliau yang masih tidak dapat diselesaikan dengan baik terutama isu yang melibatkan Istana Johor," tegasnya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di akaun Facebook miliknya.
BACA: 'Bersedialah jadi kerajaan tempang, tumbang'
Justeru, beliau menggesa, Syed Saddiq untuk bermuhasabah selain segera menyelesaikan pelbagai konflik.
"Segera perkasakan akar umbi dan barisan pemuda PH supaya PH akan bertambah kukuh, maju dan berjaya di masa akan datang demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Beliau turut menggesa kepimpinan parti harus berjiwa besar dan akur kepada kekalahan tersebut.
BACA: "Bukan salah Dr M seorang" - Khalid Samad ulas kekalahan PH di PRK Tanjung Piai
#Bersatu
#Pakatan Harapan
#PKR
#PPBM
#PRK Tanjung Piai
#Syaiful Irfan Anang
#Syed Saddiq
#Tanjung Piai