Bukan terkandas, tetapi mohon untuk pulang ke Malaysia

Azlinariah Abdullah
April 20, 2020 17:21 MYT
Menurut Johan Ariff, warga Malaysia di Rusia perlu dibezakan antara terkandas dan membuat petisyen ingin pulang ke Malaysia.
Sejumlah 124 warga Malaysia yang kini berada di Rusia tidak terkandas sebagai mana dilaporkan.
Kumpulan itu, sebaliknya, hanya menyatakan hasrat untuk kembali ke tanah air dengan segera, jika dibenarkan.
Menurut Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia ke Rusia, Johan Ariff Abdul Razak, mereka perlu dibezakan antara terkandas dan membuat petisyen ingin pulang ke Malaysia.
"Daripada jumlah 124 itu, 108 merupakan pelajar yang baru sahaja dua minggu lepas membuat petisyen mahu pulang, baki 16 orang adalah pelawat jangka pendek dan petugas syarikat minyak dan gas yang sepatutnya meninggalkan Rusia pada awal April dan hujung Mac tetapi gagal berikutan penutupan sempadan,'' kata beliau dalam kiriman melalui Whatsapp semasa dihubungi Astro AWANI.
Beliau merujuk kepada keputusan kerajaan melalui Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta supaya kesemua 124 rakyat Malaysia itu kekal berada di Rusia dan tidak pulang ke tanah air sehingga wabak COVID-19 berakhir.
Sebelum ini laporan menyebut, 124 rakyat Malaysia yang terdiri daripada tiga individu, tiga pelancong, 10 pekerja di sektor minyak dan gas serta 108 pelajar yang terkandas di Rusia berikutan sekatan perjalanan susulan wabak COVID-19, tidak sabar untuk pulang ke tanah air.
Mereka masih tidak dapat keluar dari Rusia sejak sekatan penerbangan komersial keluar dan masuk dikuat kuasa pada 28 Mac hingga 1 Mei.
Ketika meminta kesemua mereka kekal berada di Rusia, Ismail Sabri berkata, banyak faktor menjadi pertimbangan sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan untuk membawa pulang ke tanah air mana-mana warga Malaysia di luar negara.
Antara yang menjadi pertimbangan termasuk, bilangan warga yang mahu dibawa pulang dan adakah kebajikan mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Mengulas lanjut, Johan Ariff berkata, kesemua 124 warga Malaysia itu berada dalam keadaan baik dan tiada apa yang perlu dirisaukan memandangkan mereka sentiasa mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa dengan kedutaan.
"Mereka juga ada tempat tinggal, cukup makan dan minum selain sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan mengenai sebarang keputusan terkini sama ada melibatkan kerajaan Rusia atau Malaysia ketika COVID-19 melanda,'' ujar beliau.
Johan Ariff turut meminta rakyat Malaysia di Rusia yang belum mendaftar dengan kedutaan untuk melakukannya secepat mungkin bagi memudahkan urusan komunikasi dan kemas kini bilangan warga Malaysia di negara berkenaan.
Pada masa ini terdapat 893 penuntut Malaysia di seluruh Rusia yang berdaftar dengan kedutaan.
Sehingga Isnin, Rusia mencatatkan 47,121 kes positif COVID-19 dengan 405 kematian.
#COVID19 #ismail sabri yaakob #membuat petisyen #penutupan sempadan #pulang ke Malaysia #Rusia #tidak terkandas #warga Malaysia
;