Bukan tangkapan, tetapi pemeriksaan rutin senjata api - Polis
Siti Nur Aqilla Omar
Julai 23, 2022 09:40 MYT
Julai 23, 2022 09:40 MYT
JOHOR BAHRU: Bukan tangkapan atau kes membawa masuk senjata api melalui Tambak Johor, sebaliknya hanya pemeriksaan rutin.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika mengesahkan perkara itu berkata, pemeriksaan senjata api itu dibuat pada Jumaat di antara jam 2.30 petang dan 4.30 petang oleh sepasukan polis yang diketuai Pegawai Turus Pelesenan Kontinjen Johor.
Katanya, pemeriksaan dibuat ke atas sebuah treler dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di laluan lori (keluar) Malaysia-Singapura di Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
"Pemeriksaan tersebut adalah 'routine checking' bagi setiap senjata, amunisi atau peralatan berkaitan senjata api, sebagaimana surat kelulusan lesen interim oleh Ketua Polis Negara.
"Senjata api, peluru dan peralatan diperiksa bagi tujuan kelepasan oleh Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk masuk ke Singapura selepas latihan ketenteraan tersebut selesai bersama pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," kata Kamarul Zaman.
Katanya lagi, orang ramai dinasihat agar tidak mudah percaya apa juga ditular dan menyemak dahulu kesahihan maklumat tersebut.
"Polis Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin, atau berita tidak sahih," katanya.
Sejak semalam, tular rekod suara seorang lelaki berdurasi 18 saat yang memaklumkan ada pihak membawa senjata api dari Singapura ke Malaysia di Tambak Johor.
Rakaman suara itu turut disertakan dengan beberapa keping gambar pemeriksaan senjata api oleh PDRM dan KDRM.