Bukan tanggungjawab kerajaan ambil alih Utusan Melayu - Anwar
Wan Syamsul Amly
Ogos 20, 2019 23:10 MYT
Ogos 20, 2019 23:10 MYT
Kerajaan tidak mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang kini menanggung beban hutang sehingga menyebabkan kakitangan bekerja tanpa gaji hampir tiga bulan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesukaran juga dilihat untuk membantu kerana ia merupakan sebuah syarikat swasta.
"Saya rasa sukar sebab ia bukan tanggungjawab kerajaan ambil alih Utusan kerana itu bukan tanggungjawab kerajaan dan ia merupakan satu syarikat swasta yang menghadapi masalah, tetapi saya melihatnya dari segi yang lebih luas.
"Saya tidak tahu cara penyelesaian dan kutip derma sementara kerana yang mendesak adalah gaji dan elaun wartawan dan pekerja.
"Tanpa mengira kepentingan politik dan jangan kita asyik senang dengan penutupan Utusan tetapi tidak terkawal kepentingan kehidupan wartawan yang tidak dibayar selama berbulan-bulan," katanya.
Anwar berkata demikian semasa sidang media siri Jelajah Presiden ke PKR Wilayah Persekutuan di Kompleks Darul Putri, pada Selasa.
Utusan beroperasi dalam keadaan rugi sejak dua tahun lalu dan kesannya berlarutan sehingga hari ini dengan kegagalan membayar gaji pekerja termasuk melunaskan bayaran pampasan bekas kakitangan yang mengambil Skim Pemisah Sukarela (VSS) pada November tahun lalu.
Dalam pada itu Anwar kesal seandainya Utusan terkubur walaupun mengakui pernah menjadi mangsa syarikat akhbar tersebut.
"Amat menyedihkan sekiranya Utusan ditutup kerana ia pernah melahirkan tokoh-tokoh ternama dalam bidang kewartawanan seperti Zainal Abidin Ahmad (Za'aba), Rahim Kajai dan Usman Awang.
"Saya antara mangsanya. Tetapi saya tidak fikir itu mengelirukan dan pengaruhi pandangan saya.
"Saya melihat Utusan dari sudut dan kerangka yang lebih luas dari segi sejarah kebangkitan rakyat, perjuangan kemerdekaan dan andai kata editorial lebih memikir kepada kepentingan semasa dan negara saya harap Utusan dapat diselamatkan," jelasnya.
Pada Isnin, lebih 100 kakitangan Utusan mengadakan piket di luar bangunan syarikat akhbar itu bagi menuntut gaji yang tertunggak sejak tiga bulan lalu pada Isnin.
Piket yang berlangsung selama satu jam bermula pukul 1 tengah hari itu diadakan secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dalam perkembangan berasingan, Anwar menggesa semua pihak berhenti memainkan isu perkauman dan perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan.
Sebaliknya, Presiden PKR itu mahu rakyat membantu kerajaan memulihkan keharmonian dan semangat kasih sayang dalam kalangan rakyat.
#Anwar Ibrahim
#Jelajah Presiden ke PKR Wilayah Persekutuan
#kewartawanan
#Melayu
#PKR
#politik
#Presiden PKR
#Rahim Kajai
#Usman Awang
#utusan malaysia
#utusan melayu
#Zainal Abidin Ahmad