Bukan tak mahu buat, tapi tiada syarikat berminat bina litar lumba motosikal - Chow Kon Yeow
Astro Awani
Julai 20, 2022 18:04 MYT
Julai 20, 2022 18:04 MYT
GEORGE TOWN: Tiada mana-mana syarikat berminat mahu membina litar lumba motosikal meskipun Kerajaan Negeri Pulau Pinang pernah berusaha membangunkan litar tersebut di kawasan Batu Kawan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya berusaha membangunkan litar di kawasan tersebut dengan mengemukakan permohonan cadangan (RFP) pada tahun lepas, namun tidak ada syarikat yang berminat mengusahakannya.
Katanya, usaha tersebut dicadang sebagai salah satu alternatif bagi mengatasi aktiviti perlumbaan yang menjadikan jalan raya sebagai trek lumba yang merisikokan pengguna jalan raya yang lain.
"Kita pun lihat, kawasan pekarangan itu dicadangkan sebagai litar go-kart satu ketika dahulu, tetapi sama ada kawasan itu sesuai untuk litar motosikal kita perlu kaji juga.
"Sebenarnya kita pernah ada buat permintaan cadangan, tetapi tidak ada syarikat yang respons untuk membuka satu litar di pekarangan Stadium Batu Kawan.
"Pada tahun lepas kita pernah memanggil RVP, tetapi tidak ada pihak berminat. Kita ada cubalah usaha untuk mengelakkan kejadian sedemikian (kemalangan akibat lumba haram) tapi nampaknya tidak ada syarikat melihat potensi atau berminat untuk sediakan litar bagi menganjurkan untuk aktiviti sedemikian," jelas beliau.
Dalam pada itu, Kon Yeow berharap kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dilakukan secara berterusan dalam usaha membanteras aktiviti lumba haram di negeri itu.
Katanya, semua pihak termasuk ibu bapa perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan aktiviti perlumbaan haram yang berbahaya.
Tegasnya, aktiviti perlumbaan sedemikian bukanlah aktiviti yang perlu digalakkan dan kejadian kemalangan yang mengorbankan lima penunggang motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada Ahad lepas amat mendukacitakan dan tidak seharusnya berlaku.
Kon Yeow berkata, semua pihak tidak boleh terlalu mengharapkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan penguatkuasaan aktiviti perlumbaan haram setiap masa.
Justeru, tegasnya, perhatian lebih serius perlu diambil apabila jalan raya digunakan untuk aktiviti perlumbaan haram yang merisikokan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
"Kempen kesedaran secara besar-besaran perlu dilakukan dengan pengurusan (penglibatan) ibu bapa. Keluarga juga perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan anak-anak muda kita kenal risiko kegiatan ini.
"Selain itu, ada pihak yang mencadangkan kegiatan ini dianggap sebagai jenayah yang membawa hukuman lebih berat, tetapi ini semua perlu diteliti dan diambil pendekatan psikologi serta kesedaran...
".. supaya semua pihak tahu dan ambil tahu bahawa ini bukan aktiviti yang perlu digalakkan dalam masyarakat, sebaliknya tenaga yang dihabiskan ini boleh disalurkan kepada aktiviti yang lebih bermanfaat," katanya.
Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan sama ada mahu membina litar lumba khas bagi membendung aktiviti merempit dan lumba haram di negeri itu dalam sidang media di Komtar, Pulau Pinang pada Rabu.
Dalam kejadian awal pagi Ahad, tujuh penunggang motosikal terlibat kemalangan membabitkan beberapa buah motosikal termasuk kereta.
Lima orang disahkan maut iaitu tiga mangsa maut di lokasi kejadian manakala dua meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang manakala dua lagi cedera.
Polis percaya kejadian itu dipercayai akibat daripada kegiatan lumba haram dan siasatan mendapati, beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.