"Bukan senang nak beli benih, modal pun susah dicari" - Petani gusar sawah tenggelam lagi
Dewi Nur Harasha Alias
November 2, 2021 16:46 MYT
November 2, 2021 16:46 MYT
KEPALA BATAS: Golongan petani di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) kini gusar mengenai hasil padi musim ini berikutan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Jika beberapa tahun lalu, sawah-sawah di sekitar SPU yang digelar Jelapang Padi Pulau Mutiara sukar mendapat bekalan air berikutan musim kemarau, tetapi kini hujan lebat pula melanda sehingga menyebabkan anak padi tenggelam.
Ahli Jawatankuasa Kelompok Padi Paya Keladi, Kepala Batas, Shamsudin Awang, 62, ketika ditemui meluahkan kebimbangan mengenai kemungkinan kawasan sawah akan ditenggelami air sekali lagi berikutan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Kebimbangannya berasas kerana tahun ini sahaja sudah empat kali kawasan sawah di Kelompok Paya Keladi digenangi air susulan hujan lebat selain sistem saliran kurang memuaskan.
“Sawah sekarang ini memang susah sebab bila hujan, air penuh (dan) sawah padi tenggelan. Bila musim kemarau pula, air tiada langsung tanah jadi merekah.
“Laporan sudah dibuat, jadi kepada pihak berwajib kalau boleh minta korek balik parit… bila hujan lebat air bawa rumput masuk dalam sawah (bagi) masalah kepada pesawah-pesawah sebab kena tanam (padi) balik.
“Sudah empat kali tenggelam, padi pun sudah dua kali tabur lain. Bukan senang nak dapat benih, nak cari modal nak beli benih pun susah…” luah Shamsudin mengenai masalah yang dihadapi oleh dia dan rakan-rakan.
Menurut Shamsudin, selain perubahan cuaca, faktor pembangunan di kawasan sekitar turut menyumbang kepada masalah sistem saliran di sawah sehingga mengancam hasil tuaian.
Kebimbangan mengenai sawah ditenggelami air turut disuarakan Zainal Ishak, 60, yang mengusahakan sawah seluas lebih tujuh hektar.
Katanya, keadaan sawah tidak ubah seperti laut ketika hujan lebat pada September lalu sehingga menyebabkan padi terpaksa disemai dua kali sekali gus menyebabkan tumbesarannya tidak sekata.
“Cuaca sekarang tidak menentu, kadang-kadang hujan banyak sangat, kadang-kadang tiada air. Di sini kalau dalam lima hari tidak hujan habis air… susut, tinggal tanah. Terpaksa kami pam masuk balik air.
“Kalau hujan lebat (pula) tenggelam habis semua (sawah). Saluran air pun tidak elok, tersekat-sekat. Kalau boleh minta (pihak berwajib) cuci, bersihkan saluran paip,” kata Zainal merayu pihak berwajib mendengar rintihan mereka.
Sementara itu, Mohd Haris Awang, 38, pula memberitahu, dia turut buntu dengan ancaman serangga perosak seperti tikus serta penyakit karah tangkai dan daun merah yang menyerang anak padi susulan perubahan cuaca.
Pada masa sama, dia terpaksa menanggung beban kos untuk membeli racun yang meningkat dalam masa singkat.
Sebagai contoh katanya, racun rumpai yang sebelum ini berharga RM55 satu tong meningkat kepada RM75.
“Kalau hujan terlalu kerap akan sebabkan serangan makhluk perosak seperti rama-rama putih, ulat gulung daun, ulat batang yang sangat cepat serang kalau hujan.
“Itu belum kira serangan tikus disebabkan sawah dekat dengan hutan kelapa sawit banyak tikus. Makhluk-makhluk perosak ini memang kena kawal sungguh-sungguh disebabkan cuaca tidak menentu,” kata Mohd Haris.
Susulan itu, Mohd Haris menggesa kerajaan mengawal kenaikan harga racun bagi mengelakkan petani sepertinya menanggung beban berganda.
Tambahan pula, hasil padi tidak dapat dijangka kali ini susulan hujan lebat melanda di beberapa negeri di utara Semenanjung sekali gus boleh mengancam kawasan sawah.