Bukan semua PPV di Lembah Klang terima 'walk-in' Isnin ini - Khairy

Bernama
Julai 31, 2021 17:09 MYT
Khairy mengingatkan orang ramai bahawa bukan semua PPV menerima vaksinasi tanpa janji temu mulai 2 Ogos ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Operasi vaksinasi tanpa janji temu (walk-in) akan bermula di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di Lembah Klang, Isnin ini (2 Ogos), kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, vaksinasi secara tanpa janji temu itu dimulakan di Lembah Klang, setelah Operasi Lonjakan Kapasiti Vaksinasi di Lembah Klang berakhir esok.
"Operasi vaksinasi secara walk-in akan dibuka mengikut kategori pada 2 Ogos, bermula dengan mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan golongan komorbiditi.
"Pada 5 Ogos kita akan buka kepada semua yang berumur 18 tahun ke atas," katanya kepada media selepas meninjau Program Vaksinasi Warganegara China di sini hari ini.
Kadar vaksinasi per kapita Malaysia antara yang terpantas di dunia - Khairy
Menurut Khairy, kaedah pelaksanaan vaksinasi secara tanpa janji temu di Lembah Klang akan diumumkan melalui kenyataan media Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), dalam waktu terdekat.
Bagi mengelakkan penularan berita palsu, beliau mengingatkan orang ramai bahawa bukan semua PPV menerima vaksinasi tanpa janji temu mulai 2 Ogos ini.
"CITF akan umumkan senarai PPV dalam tempoh beberapa jam lagi. PPV mana yang dibuka (untuk vaksinasi tanpa janji temu). Jangan anggap bahawa semua PPV (di Lembah Klang) dibuka untuk walk-in," katanya.
Khairy berkata maklumat daripada aplikasi WhatsApp yang mengatakan bahawa ada PPV memberikan vaksin tertentu, adalah tidak betul.
Katanya kaedah pemberian vaksin secara tanpa janji temu adalah secara 'first come first serve' bergantung kepada kapasiti PPV.
"Jadi kita akan maklumkan kepada mereka yang datang ke PPV yang dibuka untuk vaksinasi tanpa janji temu berapa ramai atau berapa kapasiti vaksinasi tanpa janji temu pada satu-satu hari," katanya.
Khairy berkata, mereka yang tidak dapat divaksinasi akan diberi keutamaan pada keesokan hari.
Katanya pelaksanaan vaksinasi secara tanpa janji temu di Lembah Klang adalah untuk mereka yang belum mendapat janji temu atau yang pernah membatalkan janji temu atau yang belum mendaftar untuk vaksin.
"Kami yakin, menjelang esok 99 peratus daripada dewasa di Lembah Klang yang mendaftar (untuk vaksin) akan dapat janji temu.
"Bukan saya katakan yang pada Ogos langsung tiada vaksinasi di Lembah Klang. Tentunya akan ada vaksinasi dos kedua, tetapi akan ada juga untuk dos pertama juga. Akan ada mereka yang kami tertinggal," katanya.
-- BERNAMA
#PPV #vaksinasi #walk-in #Khairy Jamaluddin #KJ #PICK #MOSTI #vaksinasi tanpa janji temu #2 ogos
;