'Bukan semua peminjam PTPTN tak amanah' - Nik Nazmi bidas kenyataan Tun M

Sinar Harian
September 21, 2018 11:03 MYT
NIK NAZMI: Kerajaan kena faham bukan semua seperti dinyatakan, ada antara peminjam belum ada pekerjaan, yang bekerja pula, gaji permulaan amat rendah. -Gambar fail
Bukan semua peminjam yang tidak melunaskan tunggakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dianggap tidak amanah atau tidak tahu malu.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau mempunyai perbezaan pandangan berhubung perkara itu.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh menghukum peminjam yang tidak membayar PTPTN secara pukul rata, meskipun ada yang tidak tahu malu dan tidak amanah.
Ia berikutan katanya, lebih ramai peminjam yang bukan tergolong dalam kelompok itu.
"Saya hormat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan faham bebanan ekonomi negara tapi dalam hal ini saya ingin nyatakan pandangan berbeza.
"Kerajaan kena faham bukan semua seperti dinyatakan, ada antara peminjam belum ada pekerjaan, yang bekerja pula, gaji permulaan amat rendah," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata, kerajaan harus akui terdapat golongan miskin bandar dan miskin tegar dan kebiasaannya kelompok itu sukar buat bayaran kerana mempunyai banyak bebanan dan perlu menyara keluarga.
Katanya, sudah menjadi budaya dalam masyarakat, mereka yang belajar di universiti menjadi harapan besar untuk membantu keluarga.
"Kita baru perintah beberapa bulan, misi kita untuk perbaiki ekonomi negara. Sehingga kita menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, gaji permulaan yang baik dan memahami masalah sebenar peminjam, tidak wajar kita melabel kelompok peminjam sebagai tidak amanah.
"Perlu diketahui sistem pendidikan juga bermasalah dengan penumpuan terhadap pembinaan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ketika institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak berkembang dan berdepan potongan peruntukan besar kebelakangan ini," katanya.
Tambahnya, disebabkan biasiswa semakin berkurangan, lepasan sekolah yang semakin ramai tiada pilihan melainkan memilih ke IPT swasta untuk melanjutkan pengajian.
"Sebab itu dalam Buku Harapan kita fokus cipta kerja dengan gaji tinggi, peningkatan gaji minimun dalam tempoh lima tahun dan penangguhan pembayaran PTPTN sehingga gaji RM4,000. Model sama digunakan di luar negara seperti Australia dan Britain," katanya.
Terdahulu, Nik Nazmi berkata, beliau sudah membaca kenyataan Dr Mahathir dalam beberapa laporan akhbar mengatakan peminjam PTPTN yang tidak membayar pinjaman adalah tidak amanah atau tidak tahu malu.
Dalam kenyataan itu, Dr Mahathir Mohamad membidas sikap tidak jujur peminjam PTPTN yang enggan membayar hutang sehingga menyebabkan hutang tekumpul yang tidak dibayar sebanyak RM36 bilion.
Perdana Menteri berkata beliau berasa malu dengan sikap seumpama itu kerana peminjam berkenaan tidak langsung mempunyai rasa bertanggungjawab apabila mereka diamanahkan dengan sesuatu.
#bebanan ekonomi negara #ipta #ipts #Mahathir Mohamad #Nik Nazmi #Pakatan Harapan #pendidikan #PTPTN
;