Bukan semua artis jutawan, berniaga untuk dapatkan wang dan teruskan hidup - Adibah Noor
Madiha Abdullah
Februari 11, 2021 12:05 MYT
Februari 11, 2021 12:05 MYT
KUALA LUMPUR: Jika ada yang berpendapat, semua penggiat seni mempunyai pendapatan yang besar serta bergelar jutawan, ada baiknya betulkan semua persepsi itu.
Ini kerana, dunia hiburan di Malaysia tidak menjanjikan pulangan yang besar kerana hakikatnya, hanya segelintir sahaja golongan penggiat seni yang berada dalam kategori jutawan.
Realiti yang berlaku dalam dunia seni tanah air ialah, sebilangan besar artis ketika ini menjalankan perniagaan bukan sebab untuk mencari kekayaan, sebaliknya hanya meneruskan kelangsungan hidup dan membiayai perbelanjaan harian.
Mendedahkan perkara itu, penyanyi, pelakon dan pengacara, Adibah Noor berkata, tidak ramai yang tahu bagaimana kesukaran dan kesulitan yang harus dilalui oleh selebriti dalam suasana pandemik COVID-19.
"Dalam musim pandemik ini, kita lihat ramai artis yang mula meniaga. Ada meniaga pakaian, makanan dan lain-lain.
"Tetapi kami buat bukan sebab nak cari kekayaan tetapi kerana itu salah satu cara untuk mendapatkan wang sementara nak dapat peluang kerja lain," katanya ketika ditemu bual dalam program Buletin AWANI pada Khamis.
Hiburan | Industri kreatif tanah air semakin nazak? - Adibah Noor
Justeru, kata penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu, apa yang diperjuangkan anak seni ketika ini adalah peluang yang sama yang diberi kepada sektor lain, yang mula dibuka sedikit demi sedikit.
"Industri seni juga perlu diberi kelonggaran untuk kembali beroperasi, seperti industri lain. Walaupun sudah dapat lampu hijau, tetapi masih ada kekeliruan terutama sekali berkaitan SOP (prosedur operasi standard).
"SOP yang dikeluarkan ketika ini ialah penggambaran dalam studio dan ini sukar dilaksanakan bagi penggiat seni tempatan. Kami bersuara bukan sahaja untuk golongan artis tetapi juga bagi mereka yang berada di belakang tabir seperti jurumekap, jurukamera dan ramai lagi.
"Saya tidak rasa ada yang perlu dibimbangi kerana sebelum ini pun, semua penggambaran berjalan dengan SOP ketat. Semua produksi sangar menitikberatkan SOP kerana industri seni kreatif merupakan industri yang diletakkan di bawah spotlight," ujarnya
Tambah Adibah lagi, penyelesaian yang efisyen buat masa ini adalah kerajaan meluluskan semua lesen dan permit berkaitan bagi membolehkan industri itu digerakkan seperti biasa, secepat mungkin.
"Benarkan kami bekerja seperti biasa dengan SOP yang ketat. Saya juga berharap badan-badan yang ditugaskan untuk menjaga hak kebajikan penggiat seni, jalankan tugas anda," ujarnya.
Hiburan: Industri kreatif tanah air semakin nazak? - Fauziah Nawi
#artis
#artis meniaga
#peniaga
#penggiat seni
#Jutawan
#pandemik
#kerajaan
#SOP
#kelangsungan hidup
#perbelanjaan
#kaya
#Adibah Noor
#Fauziah Nawi
#bukan semua artis jutawan