Bukan sekat, tapi bantu 'buka jalan untuk ambulans, kata Pejabat Menteri WP
Bernama
Disember 6, 2019 21:16 MYT
Disember 6, 2019 21:16 MYT
Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan pada Jumaat menjelaskan laporan yang mengatakan konvoi menteri berkenaan menyekat perjalanan sebuah ambulans di Jalan Istana di sini, Rabu lepas, seperti tular melalui satu klip video yang dimuat naik dalam media sosial adalah satu 'salah lapor'.
Sebaliknya, pejabat menteri itu memaklumkan rombongan itu sebenarnya memintas ambulans itu untuk membuka jalan bagi membantunya melepasi keadaan trafik yang sesak ketika kejadian pukul 9.15 pagi itu.
"Outrider (kenderaan pengiring) DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang mengiringi kenderaan menteri telah memintas ambulans itu untuk membuka jalan bagi membolehkan ambulans dan kenderaan rombongan menteri melepasi kesesakan itu.
"Hasilnya, kereta menteri dan ambulans berjaya melepasi kesesakan itu dan berjalan dengan lancar selepas laluan dibuka oleh anggota trafik DBKL itu," menurut kenyataan itu.
Turut disertakan bersama hantaran itu rakaman video oleh Pusat Pengurusan Pengangkutan (Itis) DBKL yang menunjukkan ambulans mengekori rombongan kenderaan pengiring menteri bagi merentasi jalan yang sesak.
-- BERNAMA
#Ambulans
#DBKL
#jalan istana
#konvoi menteri
#pejabat mentari wilayah persekutuan
#polis pengiring
#video tular