'Bukan saya yang mula kebakaran di kuil' - Tukang masak

Astro Awani
November 28, 2018 07:34 MYT
Sulaiman tampil menjelaskan hal sebenar kerana ramai yang salah sangka terhadapnya, termasuk saudara-maranya sendiri. - BERNAMA
Seorang tukang masak warga tempatan tampil meleraikan 'salah sangka' orang ramai terhadapnya apabila dituduh mencetuskan kebakaran rumah kongsi berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights.
Sulaiman Abdullah, 32 tahun, tampil membersihkan namanya pada Rabu berkata ketika kejadian, dia hanya menyedari rumah kongsinya yang dibuat daripada kontena itu terbakar ketika tiba untuk mengambil pakaian untuk dibasuh.
Memetik laporan Bernama, sebaik sahaja melihat dua kontena terbakar, Sulaiman bergegas masuk ke dalam tetapi hanya sempat menyelamatkan beg berisi AL-Quran dan sejadah.
"Ketika keluar dari kontena itu, sekumpulan lelaki mengepung saya dan menuduh saya memulakan kebakaran kerana saya memakai sarung tangan di tangan sebelah kiri sebelum mula memukul saya," katanya ketika ditemui di kediaman adiknya di sini.
Katanya, dia kemudiannya diselamatkan pihak polis yang membawanya keluar dari kawasan itu.
Sulaiman yang sudah mula tinggal di rumah kongsinya itu sejak empat bulan lalu bekerja di sebuah restoran di dalam bangunan menara MCT, One City, Subang Jaya.
Dia yang juga seorang warga negara tempatan berkata, tindakannya tampil menjelaskan hal sebenar adalah kerana laporan kejadian itu tular di internet sehingga menimbulkan salah sangka orang ramai terhadapnya, termasuk daripada kenalan dan saudara-maranya.
Beberapa laporan media sebelum ini melaporkan warga negara asing dikatakan memulakan kebakaran rumah kongsi itu.
Sulaiman menjelaskan rumah kongsi itu disediakan majikan bagi pekerja restorannya dan beliau sememangnya memakai sarung tangan ketika memasak.
Dia turut membuat satu laporan polis di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya mengenai kejadian sebenar itu.
#kuil sri maha mariamman #rusuhan kuil #tukang masak
;