'Bukan salah MAIK rumah ganti mangsa banjir tak boleh didiami'

Vivi Sumanti
Februari 12, 2018 10:13 MYT
Jalan utama yang menghubungkan di antara Kota Baharu ke Kuala Krai dan Kampung Keroh dipenuhi air akibat limpahan air dari Sungai Nal ketika banjir di Kelantan pada 2014. - BERNAMA
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sudah menyiap dan menyerahkan rumah untuk mangsa banjir di Gua Musang hampir setahun lalu.
Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi memaklumkan masalah rumah berkenaan yang masih belum boleh diduduki oleh mangsa banjir 2014 berkenaan disebabkan ketiadaan bekalan air, elektrik dan infrastruktur yang bukan di bawah bidang kuasa MAIK.
"Masalah Infrastruktur, jalan, perparitan bekalan air dan elektrik bukan di bawah bidang kita. Kita sudah bina dan serahkan rumah kepada mangsa banjir dari pertengahan tahun lepas lagi," katanya kepada Astro AWANI.
Menurutnya, MAIK sudah menyiapkan 138 unit rumah mangsa banjir di tiga lokasi di jajahan Gua Musang yang melibatkan kos RM40,000 seunit.
"Kesemua rumah ini sudah siap di Tanah Putih, Simpang Pulai dan Limau Kastruri pertengahan tahun lepas. Cuma yang belum siap ialah infrastruktur jalan, perparitan dan bekalan air elektrik. Ini bukan di bawah kita. Kita sudah bagi duit. MAIK sudah laksanakan tanggungjawabnya," kata Nik Mohd Azlan.
Sebelum ini, Astro AWANI menyiarkan keluhan lapan keluarga membabitkan 61 mangsa banjir tahun 2014 yang masih tinggal di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di Gua Musang.
Mereka antara mangsa banjir yang masih menunggu rumah kekal sumbangan MAIK di Kampung Tanah Puteh yang dijangka siap sepenuhnya penghujung bulan Mac ini.
Bagaimanapun, rumah yang disumbangkan oleh MAIK sudah siap sepenuhnya namun tiada bekalan air dan elektrik serta infrastruktur menyebabkan mereka tidak dapat mendiami rumah berkenaan.
#banjir kelantan 2014 #MAIK #Majlis Agama Islam Kelantan
;