Bukan salah gas helium

Ts Mohd Soffian Osman
Oktober 13, 2019 07:45 MYT
Terdapat persoalan, apakah gas yang diisi ke dalam belon tersebut adalah benar-benar gas helium atau sebaliknya? - Gambar Unsplash / Adi Goldstein
PROGRAM Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya pada Sabtu (12 Oktober) bermula dengan meriah, tetapi berakhir dengan insiden yang menggemparkan negara.
Seramai 16 orang termasuk 9 kanak-kanak berumur antara 4 hingga 35 tahun melecur tahap satu dan dua apabila belon terapung yang digunakan ketika gimik pelancaran meletup dalam kejadian kira-kira jam 11.34 pagi tersebut.
Insiden ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan apatah lagi ia bukanlah kejadian yang pertama seumpamanya.
Pada 21 Oktober 2016 yang lalu, sekurang-kurangnya 31 orang termasuk kanak-kanak cedera selepas belon terapung meletup sewaktu program 'Walk For The Blind' di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Kejadian yang menyebabkan 4 orang daripada mangsa yang terlibat terpaksa menjalani proses pemindahan kulit akibat kecederaan yang serius, selain memaksa kerajaan negeri Terengganu ketika itu mengharamkan penggunaan belon helium dan hidrogen dalam sebarang acara rasmi di negeri tersebut.
Insiden yang melibatkan belon terapung meletup turut pernah melibatkan orang perseorangan ketika berada di rumah.
Antaranya kejadian yang menimpa adik Nuur Aini Syakila Abdul Kadir pada 29 Oktober 2015 yang ketika itu berusia 3 tahun.
Adik Syakila melecur teruk di muka dan kepala selepas terkena letupan belon yang dibeli di pasar malam di Kampung Bukit Merah, Dungun.
BACA: Terengganu pertimbang haramkan belon helium, hidrogen
Apabila insiden seumpama ini terjadi, semua media melaporkan bahawa letupan tersebut adalah disebabkan oleh gas helium yang diisi ke dalam belon tersebut bagi membolehkan ia terapung.
Namun, terdapat persoalan, apakah gas yang diisi ke dalam belon tersebut adalah benar-benar gas helium atau sebaliknya?
Menurut Mohd Adli Wong, helium tidak mungkin akan menyebabkan letupan kerana sifatnya yang stabil dan tidak mudah terbakar (non-flammable) sekalipun diletakkan berdekatan dengan sumber haba.
Beliau yang merupakan salah seorang orang yang kompeten bagi persekitaran merbahaya dan berisiko berlaku letupan (hazardous area and explosive atmospheres competent person) iaitu personnel yang diperakui oleh International Electrotechnical Commission Explosive (IECEx) dan berdaftar dengan ExCB Baseefa UK, turut menyatakan bahawa laporan berita berkaitan insiden tersebut yang mengaitkan helium sebagai punca letupan sebagai tidak tepat.
‘Dalam kebanyakan kes membabitkan belon terapung meletup ini adalah disebabkan oleh penggunaan gas hidrogen.’
‘Ini kerana hidrogen tergolong sebagai gas yang sangat mudah terbakar (highly flammable) apabila wujud sumber haba dan mudah meletup (highly explosive) jika bercampur dengan oksigen.’
‘Dalam kes ini, boleh diumpamakan seperti ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’, ujar beliau.
Penggunaan gas hidrogen dalam industri belon terapung adalah disebabkan kosnya yang lebih murah berbanding helium selain mudah didapati di pasaran.
BACA: Gas helium jika dicampur undang bahaya - Dr Wan Azizah
Namun, tanpa sedar penggunaannya secara salah demi mengaut untung berlebihan lebih mengundang padah kepada pengguna terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang sentiasa teruja dengan belon, apatah lagi bila melihat ianya mampu terapung di udara.
Oleh kerana belon terapung kerap digunakan dalam majlis-majlis keraian sebagai gimik perasmian atau sebagai tarikan kepada pengunjung, selain penjualannya secara berleluasa terutamanya di pasar-pasar malam, maka satu mekanisme kawalan bagi mengekang kejadian berbahaya seperti insiden yang telah disenaraikan daripada terus berulang.
Pihak berkuasa yang berkepentingan, terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk meneliti isu ini secara lebih serius dalam memastikan produk belon terapung yang dijual dalam pasaran adalah selamat dan tidak mendatangkan risiko keselamatan dan kesihatan kepada pengguna.
Jika tiada langkah yang lebih serius dan tegas dilakukan oleh pihak berkuasa dalam menangani isu ini, sudah pasti insiden di Putrajaya bukanlah yang terakhir yang bakal kita saksikan.

* Ts. Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn Bhd.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#belon terapung #gas hidrogen #Helium #Kanak-kanak #Kementerian Pendidikan #keselamatan #Kolumnis AWANI #letupan #mangsa #Mohd Adli Wong #Mohd Soffian Osman #pendidikan
;