"Bukan salah Dr M seorang" - Khalid Samad ulas kekalahan PH di PRK Tanjung Piai

Astro Awani
November 17, 2019 14:24 MYT
Dr Mahathir tidak sepatutnya disalahkan atas kekalahan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, tegas Khalid Samad. - Gambar fail
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad menepis kritikan veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Husin Ali yang mendakwa kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada Sabtu disebabkan kekecewaan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut beliau, Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri tidak sepatutnya disalahkan atas kekalahan itu kerana keputusan yang dibuat dalam PH bukan diputuskan oleh Dr Mahathir sahaja, tetapi turut mendapat persetujuan bersama pemimpin lain.
“Ia tanggungjawab bersama. Terlalu senang untuk meletakkan kesalahan pada seorang. Semua ada kelemahan dan kekurangan. Begitu juga kelebihan dan kekuatan.
“Tak mungkin Tun (Dr Mahathir) melakukan sesuatu tanpa persetujuan kita bersama. Perkukuhkan kerjasama dan sama-sama perbaiki. Saya team player,” tulis Menteri Wilayah Persekutuan itu di laman Twitter pada Ahad.
Khalid berkata demikian sebagai respons terhadap kritikan yang disuarakan Syed Husin Ali yang menyifatkan kekalahan PH sebagai referendum rakyat yang kecewa dan mahu “mengajar” kerajaan pimpinan Dr Mahathir.
BACA: 'Bersedialah jadi kerajaan tempang, tumbang'
Selepas kekalahan dengan majoriti 15,086 undi, beberapa pemimpin PH sependapat bahawa kekalahan itu merupakan satu mesej jelas rakyat terhadap pentadbiran PH.
Malah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan undi diraih calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai sesuatu yang “cukup mengejutkan”, serta mengingatkan PH untuk menanam keyakinan rakyat dengan melaksanakan janji-janji sebelum PRU lalu.
Jeck Seng mengalahkan calon PH Karmaine Sardini, dengan memperolehi 25,466 undi, sementara Karmaine memperolehi 10,380 undi.
Pesaing lain ialah calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon Berjasa Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperolehi 850 undi, sementara dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi.
BACA: Menikmati gelombang kemenangan BN di Tanjung Piai
#Barisan Nasional #kerajaan #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya kecil #PKR #PRU #Referendum #Twitter
;