Bukan sahaja manusia dipindahkan, kucing juga antara mangsa banjir
Vivi Sumanti
Januari 7, 2021 20:27 MYT
Januari 7, 2021 20:27 MYT
KUALA KRAI: Tugas menyelamat dalam situasi banjir yang dianggap buruk di Kelantan kali ini tidak hanya terbatas kepada manusia dan juga harta benda, malah haiwan peliharaan.
Pada siang Khamis, anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kuala Krai memindahkan 31 ekor kucing peliharaan milik sebuah keluarga ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Rizwan Ar Rafee Parsimin memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.30 tengah hari tadi bagi memindahkan dua keluarga dari kampung Kenor, di sini.
"Operasi pemindahan mangsa banjir melibatkan haiwan peliharaan dan dua keluarga ini membabitkan 10 orang anggota.
"Pihak kami menggunakan sebuah lori, sebuah pacuan empat roda dan sebuah bot bagi memindahkan lima orang perempuan dewasa, seorang bayi dan 31 ekor kucing peliharaan keluarga berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Mereka dipindahkan ke Pusat Pemindan Sementara, di Sekolah Menengah Keroh, Kuala Krai selepas rumah mereka dinaiki air.
"Operasi pemindahan berjalan lancar dan kucing peliharaan keluarga berkenaan selamat dari musibah banjir di Kuala Krai ini," katanya.
Banjir gelombang ketiga di Kelantan setakat petang ini menyaksikan lebih 5,000 orang mangsa banjir dipindahkan membabitkan lima jajahan dengan Kuala Krai paling terjejas.
#selamatkan kucing kucing peliharaan
#haiwan comel
#keluarga mangsa
#mangsa banjir
#JBPM
#Kuala Krai
#bomba dan penyelamat
#banjir kelantan