Bukan Rumah Mampu Tengok, PRR bakal dilancar tahun depan - Nga
Irfan Faruqi
November 5, 2024 05:30 MYT
November 5, 2024 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Program Residensi Rakyat (PRR) pertama akan dilancarkan pada tahun 2025, sempena kepengerusian ASEAN yang akan diterajui oleh Malaysia.
Ringkasan AI
- Pelancaran PRR 2025: Program Residensi Rakyat (PRR) pertama akan dilancarkan pada tahun 2025 sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
- Fasiliti dan Kualiti PRR: PRR akan menyediakan fasiliti bertaraf kondominium dan mesti mencapai skor kualiti lebih 80 mata.
- Harga dan Moratorium PRR: Harga seunit PRR ditawarkan serendah RM60,000 bagi kawasan luar bandar dengan tempoh moratorium 10 tahun, di mana kediaman tidak boleh dijual dalam tempoh tersebut.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata PRR ini merupakan projek perumahan awam yang mampan dengan fasiliti bertaraf kondominium.
“Di rumah mampu milik ini kita ada konsep baharu, yang mana semua Program Residensi Rakyat (PRR) akan datang mesti capai skor kualiti lebih 80 mata, yang setaraf kondominium.
“Kedua, PRR ini menjana tenaga solar supaya ia menjadi bangunan hijau. Ketiga, pembangunan PRR adalah bersepadu.
“Ia bukan pembangunan tunggal, sebaliknya ada kemudahan ATM, kedai serbaneka, surau, gelanggang sukan dan ruangan terbuka.
“Kita jangka PRR pertama akan mula dibina pada tahun 2025, sempena Malaysia mengambilalih kepengerusian ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Bukan Rumah Mampu Tengok, PRR bakal dilancar tahun depan - Nga
Menurut Kor Ming, harga seunit PRR ditawarkan serendah RM60,000 bagi kawasan luar bandar, dan pemilik unit PRR tertakluk kepada tempoh moratorium selama 10 tahun yang bermaksud kediaman tidak boleh dijual.
“Kerajaan juga bercadang untuk tubuhkan Tabung Perumahan Negara, mereka yang memiliki rumah PRR dan mendapat subsidi tidak boleh jual unit mereka dalam tempoh 10 tahun iaitu tempoh moratorium.
“Jika mereka jual unit tersebut dalam tempoh tersebut, keuntungan jualan perlu dipulangkan kepada kerajaan untuk dimasukkan dalam Tabung Perumahan Negara.
“Ini bagi membolehkan KPKT gunakan tabung yang sama untuk bantu mereka yang lebih memerlukan. Inilah satu model mampan pembinaan rumah,” ujarnya.
Kor Ming dan delegasi Malaysia ketika ini menghadiri Forum Bandar Dunia (World Urban Forum; WUF) ke-12 (WUF12) yang berlansung di Kaherah, Mesir antara 4 hingga 8 November 2024.
Di forum berkenaan, Rumah Malaysia menampilkan 21 rakan pameran, termasuk Kerajaan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan, wakil sektor swasta, dan universiti terkemuka.
Agenda AWANI: WUF 12: Segalanya bermula di rumah