Bukan 'podcast' sembang kosong, Amelia mahu didik audiens
Bernama
Mac 2, 2024 12:15 MYT
Mac 2, 2024 12:15 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak mahu program audio siar sekadar sembang kosong, selebriti Amelia Henderson mahu menerapkan lebih banyak unsur pendidikan dalam Studio Sembang yang dikendalikannya sejak Oktober 2022.
Bintang filem Pulau itu berkata walaupun program audio siar yang mempunyai lebih 90,000 pelanggan menerusi YouTube itu berasaskan hiburan, matlamat asal penerbitannya adalah untuk berkongsi dan mendidik audiens tentang realiti yang dihadapi anak seni.
"Kita ada beberapa idea yang nak dibuat tetapi saya tak boleh nak kongsikan terlalu banyak dulu, kita juga ada inisiatif untuk memperbanyak unsur pendidikan pada episod akan datang," katanya kepada Bernama.
Pelakon kacukan India-Scotland itu berkata platform audio siar itu juga diharap menjadi ruang buat rakan selebriti yang selama ini hanya dikenali menerusi watak lakonan, persembahan pentas dan kandungan media sosial berkongsi sisi lain mereka kepada umum.
"Orang di luar sana mungkin nampak dan anggap dunia hiburan ini glamor, tetapi realitinya, ia datang dengan pelbagai cabaran dan kerja keras. Cerita di sebalik tabir ini yang 'mahal' dan susah nak dengar.
"Saya harap penonton dan pendengar dapat sesuatu (inspirasi dan motivasi) secara peribadi serta dapat rasa lebih dekat dengan penonton menerusi cerita mereka yang dekat di hati," katanya yang juga penerbit eksekutif rancangan itu.
Pelakon berusia 29 tahun itu berkata tidak hanya tertumpu kepada golongan selebriti semata-mata, dia juga akan menjemput tetamu daripada pelbagai latar belakang berbeza untuk berkongsi kisah dan cabaran hidup mereka bagi memberi inspirasi kepada audiens.
"Sebelum ini misalnya, kita ada temu ramah ahli politik (misalnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) tetapi bukannya untuk 'mengorek' pandangan berkaitan politik, sebaliknya nak tahu macam mana seseorang boleh berjaya dalam mana-mana industri," kongsinya.
Percaturan Amelia untuk terjun ke dalam bidang yang masih hijau itu juga telah membuktikan bakatnya apabila program kendaliannya itu mendapat pengiktirafan pada majlis Malaysia Top Achievers Awards 2023 anjuran The Leaders Online dan MyEvents International sebagai Entertaining Podcast of The Year, baru-baru ini.
"Anugerah ini bukan hasil kerja saya seorang sebaliknya pasukan saya yang memang mantap, anugerah ini untuk mereka. Kita juga nak berterima kasih kepada mereka yang bagi kepercayaan dan menyokong program ini, bersyukur sangat ia diterima ramai," katanya yang mula berminat menerbitkan rancangan itu kerana mahu mencuba menghasilkan karya sendiri selain mencabar daya kreativitinya.
Bagaimanapun, artis serba boleh itu mengakui jadual kerjanya yang padat antara cabaran bagi menjayakan rancangan audio siar yang kini telah bersiaran lebih 70 episod itu, selain perasaan bimbang sekiranya tidak berjaya meyakinkan pihak penaja dan menarik audiens memandangkan bidang audio siar kurang dikenali pada peringkat awal.
"Dalam industri hiburan, kita mempunyai peluang besar untuk mencuba pelbagai cabang, tetapi kena pandai uruskan masa. Amy (Amelia) akan mencari orang yang boleh uruskan hal di sebalik tabir, jadi boleh pelbagaikan kerjaya, kalau semua nak buat sendiri memang ke 'laut' jadinya," katanya selain menegaskan sifat konsisten juga merupakan kunci kejayaannya.
-- BERNAMA