Bukan niat Sidang Kemuncak KL menggantikan OIC - Pejabat Perdana Menteri
Faris Danial Razi
Disember 17, 2019 18:06 MYT
Disember 17, 2019 18:06 MYT
Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019) bukan bertujuan untuk mewujudkan satu blok baharu sebagai menggantikan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagaimana yang dimaksudkan oleh beberapa pengkritiknya.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menjelaskan sidang kemuncak itu juga bukan platform bagi membincangkan isu agama atau hal-hal agama tetapi lebih kepada menangani kedudukan dan keadaan umat Islam.
Sebagai negara kecil, Malaysia begitu menyedari batasan dan keupayaannya dan hanya menyumbangkan apa yang mampu bagi kesejahteraan Ummah.
“Anggota masyarakat Islam kini berdepan dengan penindasan, pemenjaraan jutaan umat Islam, diletakkan dalam kem tahanan serta terjejas dengan perang sivil yang mengakibatkan kemusnahan bandar raya dan negara sehingga mendorong kepada penghijrahan besar-besaran umat Islam ke negara-negara bukan Islam.
“Umat Islam turut menghadapi peningkatan Islamophobia dan amalan tidak rasional yang melanggar rukun Islam tetapi menyebarluaskannya atas nama Islam,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, Sidang Kemuncak Kuala Lumpur ini juga merupakan satu inisiatif pertubuhan bukan kerajaan yang disokong oleh kerajaan Malaysia.
"Kebimbangan inilah yang mendorong kepada penubuhan sidang kemuncak ini dan edisi tahun ini cuba menjangkaui perdebatan intelektual dan perbincangan.
"Sebaliknya (ia akan) meneruskan langkah-langkah khusus, teras atau objektif yang dianggap dapat dicapai dan dilaksanakan," menurut kenyataan itu lagi.
Pejabat Perdana Menteri menjelaskan bahawa pemilihan negara-negara penting sebagai peserta sidang kemuncak itu adalah untuk tujuan khusus tetapi senarai itu tidak lengkap sehingga inisiatif tersebut mula dilaksanakan.
Menurutnya sidang kemuncak ini cuba mencetuskan pendekatan baharu dalam kolaborasi ummah.
"Sekiranya ia dapat mencapai sesuatu, maka ia akan dapat dikemukakan kepada kumpulan dan negara Islam yang lebih ramai untuk menilai sama ada inisiatif ini perlu dilaksanakan dalam skala yang lebih besar," katanya.
Menurut kenyataan tersebut, hanya beberapa pemimpin negara sahaja telah diminta mengambil bahagian pada sidang kemuncak tersebut.
"Tetapi Malaysia ingin mengulangi bahawa semua 56 negara dalam dunia Islam dijemput dan kesemua mereka diwakili di pelbagai peringkat," katanya.
'Kami berdoa agar inisiatif kami akan menerima berkat Allah S.W.T," katanya.
Pada masa sama, Pejabat Perdana Menteri turut mengesahkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menerima panggilan dari Perdana Menteri Pakistan Imran Khan yang menzahirkan kekesalannya kerana tidak dapat menghadiri sidang kemuncak itu, yang bermula esok sehingga Sabtu.