'Bukan niat nak penjarakan Samirah tapi...' - Kakak Nazrin
Astro Awani
Februari 8, 2024 18:01 MYT
Februari 8, 2024 18:01 MYT
PUTRAJAYA: "Kami bukan nak Samirah dipenjarakan atau ke tali gantung, (tetapi) kami dalam keadaan serba salah dan kami sedih kerana adik kami meninggal dunia".
Itu kata kakak sulung kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, Che Elainee Che Hassan, 67, ketika ditemui pemberita selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada tuduhan membunuh.
Beliau memberitahu, keluarganya reda dengan keputusan itu dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.
"Semuanya ketentuan Allah dan kami reda, walaupun sedih adik kami meninggal dunia, tapi pada masa sama kami tidak mahu Samirah disabitkan.
"Jadi kami terima keputusan ini, doakan kami kuat," kataya.
Sementara itu, Che Elainee memberitahu, keluarganya menyerahkan kepada pihak pendakwaan untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.
Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini mengekalkan pembebasan Samirah dan dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, enam tahun lalu.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan itu.
Samirah, 49, dua remaja dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.
Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika itu, Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga individu itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 49, dan dua remaja terbabit yang kini berusia 20 serta 22 tahun.
Dalam penghakimannya, Ab Karim dilaporkan berkata, pasukan pendakwaan hanya membuat andaian semata-mata apabila mendakwa ketiga-tiga mereka membunuh CEO Cradle Fund itu seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan.