Bukan mudah untuk kembali bangkit, tiga tahun untuk pulihkan ekonomi - Guan Eng
Astro Awani
Januari 22, 2019 08:48 MYT
Januari 22, 2019 08:48 MYT
Bukan mudah untuk kembali bangkit selepas negara kehilangan berbilion ringgit, namun kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan berusaha untuk menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Bernama melaporkan, Guan Eng berkata rakyat perlu bersabar sementara kerajaan berusaha memulihkan kedudukan fiskal negara.
Tambah beliau, ia akan mengambil masa tiga tahun untuk memulihkan fiskal berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan kembali ke landasan untuk bangkit dalam ekonomi sebagai ‘Harimau Asia’.
“Apabila kedudukan fiskal negara telah dipulihkan, kita akan perlahan-lahan maju sedikit demi sedikit, dan kita berharap rakyat dapat bersabar,” katanya ketika berucap di depan penganut Hindu sempena perayaan Thaipusam di Kuil Penang Waterfall Hilltop, pada Isnin.
Terdahulu, Lim menghadiri upacara keagamaan khas di Kuil Sri Meenakshi dan Kuil Nattukotai Chettiar di Pulau Pinang, bersempena perayaan Thaipusam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr P Ramasamy, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kerangkuman Gender dan Agama Selain Islam negeri, Chong Eng dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai.