"Bukan mudah rombak Kabinet" - Perdana Menteri
Astro Awani
Januari 14, 2020 15:06 MYT
Januari 14, 2020 15:06 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bukan mudah untuk beliau melakukan rombakan Kabinet memandangkan perkara itu perlu mengambil masa selain harus mendapat persetujuan daripada semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk rakan sekutu mereka Parti Warisan Sabah.
“Sebagai Perdana Menteri, saya harus berurusan dengan lima parti. Rombakan bukan mudah, kerana ia bukan sahaja perlu diterima kami (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), tetapi juga parti yang lain,” kata Perdana Menteri dalam sidang media pada Selasa.
Dr Mahathir sebelum itu menghadiri Forum Integriti Bank Rakyat 2020, di sini, hari ini.
Ditanya wartawan mengenai calon potensi untuk dilantik sebagai Menteri Pendidikan menggantikan Dr Maszlee Malik yang meletak jawatan pada 3 Januari lalu, Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan.
"Saya belum putuskan (pengganti Dr Maszlee) apa-apa lagi," kata Dr Mahathir yang kini memangku jawatan berkenaan buat sementara seperti yang dipersetujui Jemaah Menteri.