Bukan mudah ratifikasi ICERD di negara ini, kata Perdana Menteri

Firdaus Azil
Oktober 31, 2018 17:57 MYT
Langkah merealisasikan ratifikasi ICERD dengan tujuan menjadikan rekod hak asasi manusia negara dihormati dunia, adalah selaras dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan. - Gambar hiasan
Kerajaan akan mengkaji secara terperinci, termasuk berunding dengan semua kaum di negara ini, sebelum meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ini kerana, jelasnya lagi, ia bukan sesuatu yang mudah bagi negara ini, memandangkan ia terdiri dari rakyat yang berbilang bangsa dan mempunyai agama kepercayaan tersendiri.
“Kita akan sign setelah kita runding dengan semua kaum di Malaysia, dan saya telah sebut dalam ucapan saya perkara ini bukan mudah bagi Malaysia. Kita ada pelbagai kaum, masing-maing sensitif terhadap perkara tertentu,” katanya selepas merasmikan Dasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD) di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berkata Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum tidak akan memberi kesan kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Menteri yang bertanggungjawab mengenai perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial itu berkata langkah merealisasikan ratifikasi ICERD dengan tujuan menjadikan rekod hak asasi manusia negara dihormati dunia, adalah selaras dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan berbincang dengan semua pemegang taruh bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai usaha meratifikasi ICERD.
#Dasar Industri 4 0 Nasional #ICERD #Industry4WRD #Mahathir Mohamad #Malaysia #Manifesto #menteri #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #perpaduan
;