"Bukan mirip, memang benar audio itu suara saya" - Hamzah Zainudin
Fareez Azman
April 30, 2021 12:32 MYT
April 30, 2021 12:32 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hamzah Zainudin mengakui, rakaman audio perbualan mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tular sejak beberapa hari lalu merupakan suara beliau.
Menurut Menteri Dalam Negeri itu, dalam perbualan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, beliau ada meminta senarai nama penganti sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Saya rasa itu adalah suara yang benar oleh saya, saya tak lakukan apa-apa kesalahan… apa salahnya?
"Orang yang salahnya adalah yang rekod perbualan saya, saya dah cakap banyak kali bahawa kalau kita dengar apa salahnya, saya hanya minta Ketua Polis Negara beri beberapa nama kepada Yang di-Pertuan Agong salah ke?" jelasnya dalam sidang media pada Jumaat.
Ketika ditanya apakah beliau akan membuat laporan polis berhubung penularan rakaman audio itu,
Hamzah berkata tiada hasrat untuk memanjangkan perkara terbabit.
"Tidak perlu pun (buat laporan), kerana saya tak buat apa-apa salah pun. Kita buat perkara yang betul, saya diminta oleh Istana (Negara) untuk berikan nama pengganti.
"Perbualan saya itu dirakam tahun lalu, saya Menteri Dalam Negeri. Saya boleh lakukan dengan beberapa cara, tetapi siapa yang rakam?" soalnya lagi.
Sebelum ini, tular di laman sosial satu rakaman audio berdurasi 1 minit 22 saat dikatakan mirip suara Menteri Dalam Negeri itu.
Rakaman audio itu antara lain menyentuh berkenaan kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam PDRM.
#Yang di-Pertuan Agong
#PDRM
#Polis Diraja Malaysia
#Ketua Polis Negara
#menteri
#laman sosial
#Malaysia
#Hamzah Zainuddin
#Menteri Dalam Negeri
#Tular audio
#rakaman
#siasatan
#kenaikan pangkat