Bukan masa untuk dunia terus berbelah pendirian - PM Ismail Sabri
Bernama
Mei 26, 2022 10:20 MYT
Mei 26, 2022 10:20 MYT
TOKYO: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai Masa Depan Asia pada Khamis menegaskan sekarang bukan masanya untuk dunia terus berbelah pendirian ketika sedang berhadapan dengan pelbagai ancaman.
Pada penampilan sulungnya pada persidangan yang turut dikenali sebagai Persidangan Nikkei itu, beliau berkata dunia sedang berdepan dengan pelbagai ancaman termasuklah perubahan iklim yang memerlukan komitmen dan kerjasama serantau dan juga antarabangsa dalam usaha untuk menanganinya.
Beliau berkongsi dengan persidangan itu satu peribahasa yang digunakan di Malaysia iaitu "bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat" yang mencerminkan kepentingan mewujudkan komitmen yang teguh terhadap kerjasama serantau dan antarabangsa.
"Kemelut yang melanda membawa hikmah supaya kita sama-sama belajar daripada pengalaman tersebut untuk mencari penyelesaian yang tuntas agar terus maju ke hadapan.
"Walaupun begitu, sebarang penyelesaian yang mahu dicari tidak seharusnya hanya menguntungkan satu pihak semata-mata tetapi melibatkan semua," katanya pada persidangan dengan tema "Mentakrif Semula Peranan Asia dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian".
ISMAIL SABRI-PENDIRIAN 2 TOKYO
Ismail Sabri berkata krisis ekonomi yang berlaku akibat pandemik COVID-19, dan kini konflik Ukraine adalah peringatan bahawa rantau Asia seperti mana-mana juga rantau lain, tidak terkecuali daripada mendapat bahana.
Namun apa yang membezakan adalah sejauh mana kesan yang dirasai masing-masing dan negara maju tentunya lebih berupaya untuk mendepani krisis berbanding negara kurang maju, katanya.
Beliau berkata isu pengagihan vaksin yang tidak adil atau sama rata umpamanya menyebabkan ia menjadi ancaman kepada pemulihan ekonomi dunia.
Menurutnya, sehingga Mei 2022, laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menyatakan 72 peratus penduduk negara maju telah diberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sedangkan negara miskin hanya 17 peratus.
Beliau berkata konflik yang melanda Ukraine menunjukkan negara-negara yang tidak terlibat sama sekali dengannya tetap terkesan, dan Malaysia sebagai antara negara pedagang, juga mudah terdedah kepada sebarang perkembangan yang boleh mengganggu dan memberikan kesan yang buruk kepada keupayaan pengeluaran dan lojistik sejagat.
ISMAIL SABRI-PENDIRIAN 3 (AKHIR) TOKYO
Ketika negara kuasa dunia dan syarikat multinasional kalut akibat kekurangan semikonduktor dan mikrocip yang menjejaskan industri mereka, isu gangguan bekalan terutamanya makanan memberikan kesan buruk yang lebih besar kepada rakyat biasa terutama dengan meningkatnya kadar inflasi sehingga mencapai paras rekod tertinggi.
Tanpa banyak pilihan, katanya banyak negara dunia mula giat mengatur strategi bagi memastikan jaminan bekalan makanan masing-masing untuk jangka pendek.
"Namun begitu, tiada siapa yang boleh berjaya jika bertindak bersendirian dalam jangka masa yang panjang. Kita haruslah memikirkan secara strategik bersama-sama bagi memperkukuh jalinan perdagangan dan kerjasama ekonomi antarabangsa untuk mendepaninya," katanya.
Ismail Sabri berkata kerjasama ekonomi dan integrasi yang ingin dibangunkan harus menepati keperluan dan terma-terma serantau.
"Inisiatif-inisiatif ini perlulah lebih inklusif dan tidak lagi bersifat berpihak-pihak mengikut kepentingan geopolitik seperti dilakukan kuasa-kuasa besar sepanjang lebih sedekad lalu," katanya.
-- BERNAMA