“Bukan makan minum sahaja, perkhidmatan ditawar & diguna juga perlu halal!”
Israr Khalid
April 8, 2024 23:38 MYT
April 8, 2024 23:38 MYT
AMPANG:
Kepesatan teknologi memacu pertumbuhan pelbagai saluran dan rangkaian yang membawakan beratus-ratus kandungan di seluruh dunia setiap hari - cendawan yang tumbuh selepas hujan pun tidak begini!
Teknologi juga membolehkan manusia dari serata ceruk bumi mampu berhubung dan menikmati kandungan-kandungan dari bahagian dunia yang berbeza di mana-mana sahaja pada bila-bila masa, segalanya di hujung jari.
Lantas setiap pemain dalam dunia ini berlumba-lumba untuk menjadi yang terutama, yang menjadi pilihan pertama pengguna, maka masing-masing tampil dengan pelbagai tawaran dalam pelbagai cara, paling ketara adalah perbandingan harga.
Ketika ini wujud teknologi yang membolehkan pengguna menikmati ribuan kandungan dari serata dunia hanya daripada sebuah alat tidak lebih besar daripada senaskhah buku malah sebongkah belacan, dipanggil ‘Android box’, kotak TV satelit dan sebagainya.
Namun sebahagian besarnya mencerap kandungan secara haram dengan memintas isyarat satelit dan memanipulasi kod transmisi di net.
Mengambil sesuatu yang bukan hak kita atau tanpa kebenaran pihak yang memilikinya adalah salah. Semua tahu itu. Sepatutnya.
“Dalam perniagaan, paling penting adalah aspek halalnya, bukan dari segi makan minum sahaja tapi juga produk-produk yang kita guna pakai pun.
“Pakai ‘Android box’ memang sesungguhnya jauh lebih murah, tapi kita dah curi bahagian yang perlu sampai kepada orang-orang yang sepatutnya, kepada produksi atau royalti untuk mereka yang mengerjakannya.
“Bila saya melanggan Astro BIZOne, mutu siaran memang terbaik dan saya tak runsing. Andai kata kalau saya guna ‘Android box’, tengah-tengah siaran perlawanan bola sepak yang sengit tiba-tiba datang penguatkuasa tutup siaran atau siaran terganggu akibat masalah teknikal, tak huru-hara dibuatnya?”
“Jadi keberkatan itu penting dalam bisnes,” kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali.
BIZOne merupakan pakej kandungan terbaharu khas daripada Astro untuk sektor perniagaan berasaskan makanan dan minuman (F&B) yang menawarkan pelbagai kandungan yang sesuai ditonton pelanggan.
Ia mempunyai 15 saluran sukan, 25 saluran bukan sukan serta lapan saluran siaran percuma yang ditawarkan pada harga yang telus berdasarkan jenis perniagaan dan kapasiti tempat duduk premis.
Jawahar Ali mengambil inisiatif untuk memasang Astro BIZOne di setiap 22 cawangan Restoran Ali Maju di serata Lembah Kelang.
Sebagai tanda terima kasih daripada Astro BIZ, restorannya dipilih menjadi venue tayangan perlawanan Liga Perdana Inggeris secara langsung di cawangan Ukay Perdana, Ampang, Selangor di mana ratusan penyokong Liverpool dan Manchester United berkumpul menyaksikan pasukan mereka berentap pada Ahad.
Yang Berhormat kawasan yakni Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali dengan nama Altimet turut bersama dalam kemeriahan, memandangkan beliau juga penyokong The Reds.
Sebagai mantan karyawan, kegiatan lanun sememangnya suatu hal yang menyebalkan dirinya dalam apa bentuk sekali pun, kerana orang ramai tidak tahu perbuatan yang dilihat sebagai ‘hal kecil’ ini sebenarnya memberi kesan besar kepada pembikin kandungan.
“Mereka ini (yang menawar dan menggunakan perkhidmatan siaran kandungan secara haram) merupakan ketirisan dalam pendapatan (pihak pencipta kandungan).
“Kalau pendapatan mereka menurun, peruntukan untuk menghasilkan kandungan mengurang jadi ia akan menyumbang kepada penurunan kualiti kandungan yang dihasilkan.
“Contohnya dalam penyiaran perlawanan bola sepak, jika ketirisan ini terus berlaku akan sampai satu masa pihak yang membawakan siaran itu secara sah tidak lagi mampu beli lesen untuk membuat siaran langsung dan sudahnya kita akan dapat siaran tergendala atau rakaman sahaja. Jadi tak cantik lah.”
Perlawanan yang dibawakan secara langsung oleh Astro dari Old Trafford, England pada malam Ahad yang turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith itu disiarkan dengan baik, tanpa sebarang kendala malah dengan paparan visual dan audio berkualiti tinggi yang cukup mengujakan, membawa pengalaman menonton bola di mamak ke satu tahap yang luar kebiasaan.
Walau keputusan berakhir seri bukannya kemenangan yang diharapkan oleh kedua-dua pihak, semua yang hadir boleh dikata berpuas hati - malah tidak kurang jumlahnya yang membawa pulang hadiah-hadiah lumayan daripada acara cabutan bertuah daripada pihak Astro.
“Dari minit pertama hingga minit terakhir tak ada masalah langsung, kalau pakai ‘Android box’ tak tentu kadang-kadang dengan ‘lagging’nya, ‘stuck’nya jadi ia tidak menjamin keseronokan menonton sebenarnya.
“Astro juga mempunyai lesen eksklusif untuk Liga Perdana Inggeris dan liga-liga lain, jadi saya rasa bagus kalau semua gunakan Astro,” ujar penyanyi Tomok, yang mengendalikan acara pada malam itu bersama Raden dan Ray dari Era.