Bukan kroni atau proksi, saya di sini untuk bercakap benar - Bekas Pengerusi 1MDB
Bernama
Mac 5, 2025 23:30 MYT
Mac 5, 2025 23:30 MYT
Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, 75, yang berkhidmat sebagai Pengerusi 1MDB dari 2009 hingga 2016 berkata beliau hanya mahu menceritakan perkara sebenar mengenai syarikat itu sepanjang tempoh memegang jawatan berkenaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa keterangannya sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bermakna beliau adalah kroni atau proksi bekas perdana menteri itu.
Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, 75, yang berkhidmat sebagai Pengerusi 1MDB dari 2009 hingga 2016 berkata beliau hanya mahu menceritakan perkara sebenar mengenai syarikat itu sepanjang tempoh memegang jawatan berkenaan.
Saksi pembelaan ke-12 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan Najib kerana didakwa menyeleweng dana RM2.3 bilion milik 1MDB.
Muhammad Shafee: Anda pernah memegang jawatan dalam kerajaan. Dengan memberikan keterangan seperti ini, adakah anda tidak bimbang tidak akan dilantik ke jawatan sedemikian?
Che Lodin: Seperti yang saya nyatakan dalam keterangan saya sebelum ini, saya berada di sini untuk memberitahu perkara sebenar mengenai apa yang berlaku semasa saya menjadi pengerusi. Jika itu tidak dapat diterima oleh mana-mana organisasi yang saya terlibat, saya terima dengan hati terbuka.
Che Lodin dilantik sebagai Pengerusi 1MDB bagi menggantikan pendahulunya Tan Sri Mohd Bakke Salleh meletakkan jawatan pada akhir 2009 kerana curiga Najib mungkin terlibat dalam dakwaan salah di 1MDB.
Saksi turut disoal mengenai dakwaan pendekatan top-down Najib dalam mengarahkan lembaga pengarah untuk mengikut arahannya.
"Saya tidak bersetuju dengan itu. Sebagai contoh, dalam pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd, idea tersebut dicadangkan oleh perunding sebelum ia diluluskan oleh pemegang saham (Najib)," katanya.
Muhammad Shafee: Tan Sri, memandangkan sekarang bulan Ramadan, adakah segala keterangan yang anda berikan dalam beberapa hari ini adalah benar, benar sepenuhnya dan tiada yang lain selain kebenaran?
Che Lodin: Insya-Allah, saya bercakap benar dan tiada yang lain selain kebenaran.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung Isnin.
-- BERNAMA