Bukan kerajaan 'back door' - Anwar Ibrahim
Isabelle Leong
September 23, 2020 12:51 MYT
September 23, 2020 12:51 MYT
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan baharu yang bakal ditubuhnya bukan kerajaan ‘back door’ ataupun kerajaan pintu belakang.
Anwar berkata kerajaan baharunya mendapat majoriti yang kukuh dan menyakinkan.
“Ini bukan kerajaan ‘back door’.
"Ini merupakan kerajaan yang mempunyai mandat dan mendapat sokongan dengan prinsip dan dasar yang jelas.
“Mereka yang memutuskan untuk menyertai (kerajaan baharu) ini harus menerima kerajaan yang menghormati integriti, pemerintahan yang baik, anti-rasuah dan rule of law,” katanya pada sidang media tergempar sebuah hotel di ibu kota pada Rabu.
Ahli Parlimen Port Dickson juga berkata pihaknya sudah membuat persiapan selama berbulan-bulan dan akhirnya mereka memperolehi majoriti kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Malah, katanya, beliau mendapat sokongan majoriti menghampiri dua pertiga undi.
“Ini bukan semalaman. Kami sudah membuat perancangan ini selama berbulan-bulan.
“Sekarang kami telah memperoleh majoriti, kami membuat pengumuman,” katanya.
Tambahnya, kerajaan yang bakal dibentuk akan terdiri daripada majoriti ahli Parlimen berbangsa Melayu.
“Sudah tentu ia (dibentuk) dengan majoriti (ahli Parlimen) Melayu, bumiputera. Ia juga merangkumi semua kaum dan agama.
“Saya tidak akan berkompromi dan saya dengan senang hati berkata mereka yang menyertai saya, mereka juga menyokong saya,” katanya.
Terdahulu, beliau mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.
Tegas Anwar, beliau telah mendapat perkenan menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguh susulan baginda sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
#Ahli Parlimen Port Dickson
#Anwar Ibrahim
#back door
#dua pertiga undi
#kerajaan baharu
#majoriti
#PKR
#sidang media anwar ibrahim