Bukan kami buat laksa ini jadi 'beracun' - Penjual

Sinar Harian
Oktober 10, 2018 16:29 MYT
"Benda ini telah tular di media sosial, dah jadi viral sangat, seolah-olah kami yang bersalah, seolah-olah kami yang buat laksa ini jadi beracun," kata penjual laksa terbabit. -Gambar fail
Seorang penjual laksa masih menunggu keputusan makmal bagi mengesahkan punca sebenar kes keracunan yang dikaitkan dengan laksa dijualnya.
Daud Ismail, 51, berkata Jabatan Kesihatan memaklumkan punca sebenar hanya akan diketahui selepas keputusan ujian diperoleh.
Bagaimanapun, dia kecewa apabila kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggambarkan punca keracunan sudah diketahui.
"Daripada kenyataan disiarkan media, seolah-olah laksa dijual saya memang disahkan beracun.
"Sedangkan Jabatan Kesihatan masih melakukan pemeriksaan dan pihaknya ada datang empat kali untuk mengambil sampel laksa dan barang masakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, selagi belum ada keputusan sah, dia akan memberikan kerjasama penuh kepada KKM.
Dalam pada itu katanya, situasi dihadapinya kini membuatkannya tertekan.
Katanya, dengan pelbagai berita yang tular ketika ini menunjukkan seolah-olah dia sudah diputuskan bersalah.
"Benda ini telah tular di media sosial, dah jadi viral sangat, seolah-olah kami yang bersalah, seolah-olah kami yang buat laksa ini jadi beracun.
"Kami tertekan, selama 15 tahun ini laksa inilah pendapatan kami anak beranak, bila jadi macam ni, saya sedih sangat," katanya yang mengharapkan orang ramai tidak menularkan berita yang belum pasti.
#barang masakan #jabatan kesihatan #Kementerian Kesihatan Malaysia #kes keracunan #KKM #laksa #sampel laksa
;