Bukan Islam campuri isu pengajian 40 hadis melampau - PPIM
Sinar Harian
Ogos 29, 2023 14:43 MYT
Ogos 29, 2023 14:43 MYT
SHAH ALAM: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa menyiasat semua kenyataan media dibuat mengenai isu pengajian 40 hadis yang disifatkan semakin melampau.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sehubungan itu pihaknya juga akan membuat laporan polis mengenai perkara berkenaan.
"Agama Islam adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Pendidikan Islam untuk pelajar Islam juga hak umat Islam.
"Tindakan pihak bukan Islam masuk campur urusan Islam dalam negara ini sudah melampau. Adakah pihak yang menentang pelaksanaan modul Hadis 40 ini sudah meneliti dan mendapati ia boleh mengancam kesejahteraan orang bukan Islam,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.
Pelaksanaan modul tersebut disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama.
Dalam pada itu, Nadzim mengingatkan semua pihak agar tidak menyebar kandungan berbaur kebencian melibatkan 3R (bangsa, agama dan raja) yang tidak hanya termaktub bidang politik, malah keseluruhannya.
“Jangan ingat kami akan berdiam diri. Siapa mereka mahu meletakkan syarat dan mengugut sekiranya pengajian 40 hadis diteruskan,” tegasnya.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian