'Bukan ibu kota yang ku kenali'

Arfa Yunus
November 29, 2012 23:58 MYT
Sewaktu membuat tinjauan baru-baru ini di Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Siew Sin, Lebuh Pudu dan Jalan Silang, saya amat terkejut apabila melihat wajah-wajah menyedihkan di beberapa sudut sekitar ibu kota, Kuala Lumpur.
Ini merupakan kali pertama saya ‘merayau’ di sekitar kawasan ini selepas beberapa tahun tidak ke sini, memandangkan saya bukan berasal dari Kuala Lumpur.
Perasaan ingin tahu, membuatkan saya dan rakan setugas memulakan "penjelajahan" kami di pagi Ahad, berjalan kaki menyusuri Jalan Tun Perak dan Jalan Tun Tan Siew Sin.
Yang pasti, perjalanan kami tidak sunyi, kehadiran disambut dengan laungan lagu-lagu bahasa asing, berkemungkinan salah satu daripadanya alunan lagu ‘Bollywood’.
Hasil pemerhatian dari dekat, jelas kelihatan di sebalik bangunan tinggi mencakar angit, terserlah jalan raya dan lorong yang amat kotor, bangunan yang mula usang serta diselaputi debu.
Saya melihat sekeliling dan mendapati ramai warga asing pelbagai bangsa berada di kawasan tersebut. Tidak dapat dibezakan mana satu warga tempatan atau warga luar. Kelihatannya sama sahaja.
Namun identiti terbongkar apabila mereka mula berbicara bahasa ibunda atau cuba berbahasa melayu dengan loghat asal yang pekat.
Dari restoran ke kedai runcit serta kedai menjual permaidani, Jalan Tun Tan Siew Sin dan Jalan Silang dilihat seperti sebuah kawasan perniagaan di sebuah bandar lain di luar negara.
Saya dan rakan-rakan meneruskan perjalanan sehingga sampai berhampiran sebuah kedai makanan segera di Jalan Silang dan kali ini saya dapati terdapat beberapa warga asing termasuk Filipina dan Indonesia menjual barangan seperti alat solek dan kad telefon jarak jauh di hadapan bangunan Kota Raya.
Mungkin sudah kebiasaan, tiada rasa kekok langsung berjual-beli.
Lorong-lorong belakang di kawasan ini juga amat kotor dan dapat dilihat banyak longkang yang tersumbat.
Saya tertanya sendiri, bagaimana orang ramai masih boleh melalui kawasan ini setiap hari. Terdapat banyak beg plastik sarat dengan sampah sarap di merata tempat yang mengundang bau menusuk.
Terdapat juga banyak gerai makan dimana kebanyakkannya dijaga oleh warga asing. Makanan yang dihidang boleh dipertikai tahap kebersihannya memandangkan gerai-gerai ini terletak di lorong belakang yang sempit dan kotor.
Sedar tidak sedar hari mula terik dek pancaran matahari, tetapi saya ternampak seorang gelandangan yang masih tidur di laluan pejalan kaki tanpa menghiraukan mereka yang lalu lalang.
Saya berkata kepada diri sendiri, ini bukanlah Kuala Lumpur yang saya kenal satu ketika dahulu, jauh sekali dari petikan iklan-iklan pelancongan yang pernah dilihat.
Sayang dan sedih apabila terpaksa menelan kenyataan ini ibu kota yang ku kenali rupanya sedang hancur dimamah pembangunan dan hilang sudah seri dan perwatakannya.
#gelandangan #Jalan Tun Perak #Kota Raya #warga asing
;