ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menafikan beliau ke Jepun kerana bercuti atau berbulan madu baru-baru ini.

Beliau menjelaskan tidak akan pergi ke Jepun sekiranya tahu lebih awal berkenaan bencana banjir yang melanda negeri itu sejak minggu lalu.

Menurut beliau, lawatan kerja ke Jepun yang antara lain membabitkan perbincangan dan proses pembelajaran pengurusan air bawah tanah itu, telah dirancang dan diluluskan lebih awal iaitu pada April lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu turut menempelak pihak yang menjadikan bencana banjir sebagai isu politik khususnya menyalahkan beliau atas kejadian yang berlaku di Kedah.

"Perbincangan (adalah) untuk pergi belajar macam mana pengurusan air bawah tanah di Jepun, itu (sebab utama) yang saya pergi, (selepas pergi dan) sampai di sana, hari yang kedua baru banjir berlaku. Saya buat kerja saya, Allah Taala buat kerja Dia.

"Saya mana tahu Allah Taala nak bagi banjir... kalau saya tahu, saya pun tak pergi dan kalau saya ada di sini pun banjir tidak akan surut. Banjir surut dengan kehendak Allah bukan kehendak saya, itu masalah orang  ini (menjadikan isu politik).

"Saya sudah bagi nasihat semalam, (saya mendoakan agar) banjir ini akan surut, air akan pergi dan kemarau akan menjelma," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang pada Ahad.

Sanusi turut sekali lagi menafikan dakwaan bahawa beliau ke Jepun kerana bercuti atau melancong, selain menegaskan kedua-dua isterinya berada di Kedah dalam tempoh terbabit.

Sanusi turut mengingatkan semua pihak agar tidak melemparkan dakwaan dan tuduhan tidak benar terutamanya ketika mengulas mengenai kejadian banjir di negeri itu.

"Cuma (saya harap) agar (semua dapat) elakkan (daripada) menulis benda-benda yang tidak betul, contohnya saya pergi honeymoon, itu semua tak betul, ada juga (cakap) saya bawa bini (isteri) muda (ke Jepun), (itu) pun tak betul, depa (mereka berdua) bekerja (dan berada) di sini (ketika saya di Jepun),

"Sebenarnya itu yang isu (yang) nak diperkatakan, bagi (menenggelamkan) isu sebenar banjir, (kerja golongan ini hanya) nak hentam Sanusi, siapa boleh hentam (saya), dia seolah-olah (boleh) mengeringkan banjir satu Kedah," katanya sinis.