Bukan hanya merah jambu, gelang kuarantin ada lima warna - KKM
Hasimi Muhamad
September 18, 2020 19:37 MYT
September 18, 2020 19:37 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan gelang tangan atau tag kuarantin COVID-19 tidak hanya berwarna merah jambu, sebaliknya terdiri daripada lima warna berbeza.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun perbezaan warna gelang itu mempunyai fungsi yang sama iaitu dipakai oleh individu di bawah pengawasan (PUS).
Jelas beliau, perbezaan warna gelang tersebut adalah tertakluk kepada stok di kawasan setempat dan penentuan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
"Gelang kuarantin adalah tanda yang dipakaikan kepada individu di bawah pengawasan seperti kontak rapat kes positif, pengembara yang pulang dari luar negara atau individu yang berada di dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) secara pentadbiran.
"Untuk makluman semua, selain gelang berwarna merah jambu, terdapat juga gelang berwarna putih, biru, merah atau kuning yang digunakan.
"Tempat dan tarikh saringan dilakukan akan ditulis pada gelang tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tegas Dr Noor Hisham, individu yang telah dipakaikan gelang kuarantin tersebut tidak boleh keluar rumah sehingga tempoh kuarantin tamat, kecuali bagi ketua keluarga.
Bagaimanapun, gelang kuarantin hanya boleh dipotong oleh PKD yang terlibat setelah tempoh kuarantin tamat.
"Kegagalan untuk mematuhi arahan kuarantin boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat sekeliling.
"Sekiranya masih terdapat individu dengan gelang kuarantin berada di kawasan umum, laporan kepada pihak polis perlu dilakukan bagi melindungi masyarakat kita daripada risiko penularan COVID-19.
"KKM sangat berterima kasih di atas keprihatinan masyarakat yang mengambil peranan sebagai barisan hadapan di kawasan masing-masing yang bertindak melaporkan individu dengan gelang kuarantin yang berada di tempat umum," katanya lagi.
#COVID-19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Gelang kuarantin
#Gelang merah jambu
#Kementerian Kesihatan
#kes positif
#KKM
#koronavirus
#PKPD