'Bukan hanya mengejar syurga, tapi jadikan dunia ibarat syurga' - Maszlee

Harits Asyraf Hasnan
Disember 20, 2019 10:46 MYT
Setiap lapisan sistem pendidikan pada masa kini bukan hanya berfungsi untuk mengajar, sebaliknya menjadi platform meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar dan penuntutnya, kata Maszlee. -Foto Astro AWANI
Setiap lapisan sistem pendidikan pada masa kini bukan hanya berfungsi untuk mengajar, sebaliknya menjadi platform meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar dan penuntutnya.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menegaskan ia termasuk menjadikan para pelajar dan penuntutnya bersedia mendepani cabaran global sekali gus mencipta penyelesaian.
Jelasnya, negara-negara Islam perlu melahirkan lebih ramai modal insan seperti aktivis muda, Greta Thunberg yang mampu berfikir secara kritis dan membahaskan isu-isu global terutama perubahan iklim.
“Sekolah dan institusi pendidikan tinggi perlu melahirkan modal insan yang mampu berfikir, mencipta penemuan saintifik, mencari lebih banyak penyelesaian, bersedia untuk berubah dan kekal waras dalam perubahan yang berlaku.
“Kita lihat Greta Thunberg, berusia 16 tahun, yang mampu bercakap soal masalah dan isu global dan perubahan iklim. Kita perlu lebih ramai sepertinya dalam dunia Islam.
“Tapi kita perlu melihat dan mengkaji semula cara kita mengajar kepada pelajar untuk melihat dunia. Ia bukan sahaja memikirkan untuk ke syurga, tetapi juga menjadikan dunia ini ibarat syurga kepada semua,” ujar Maszlee.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sesi Khas Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit 2019) bertajuk ‘Mengapa Pendidikan menjadi Kunci Pembangunan Negara’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Jumaat.
Dalam ucapan sama, beliau turut menggariskan lima tonggak yang perlu dilakukan oleh dunia Islam seperti pendekatan pendidikan, cabaran revolusi industri 4.0 (IR4.0), memperbaharui kaedah kajian, memperbaharui infrastruktur pendidikan dan mentrasformasi mengendalikan para pengajar dan cedekiawan.
“Dalam dunia yang penuh mencabar ini, Malaysia perlu mengukuhkan lagi modal insan, di mana universiti merupakan teras kepada matlamat ini.
“Melalui kerjasama dan kolaborasi rangka kerja antara negara, Malaysia berharap supaya dapat menjadi penyumbang utama dalam bidang keilmuan dan inovasi kepada kepada komuniti global terutamanya dalam kalangan negara Islam,” katanya.
Justeru, katanya menerusi pembaharuan sistem pendidikan, ia akan menjadi agenda kepada dunia Islam pada dekad mendatang sekaligus memupuk rasa cinta, kebahagiaan dan saling hormat-menghormati.
#Greta Thunberg #IR4 #KL Summit #KL Summit 2019 #Kunci Pembangunan Negara #Maszlee Malik #Menteri Pendidikan #Sidang Kemuncak Kuala Lumpur
;