Bukan hanya MAS pernah alami gangguan teknikal - Loke

Ridauddin Daud
Ogos 26, 2024 16:49 MYT
Anthony Loke ketika sidang media berhubung Pemberian Kuasa Kepada PUSPAKOM untuk menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor, di Kementerian Pengangkutan, hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Gangguan perkhidmatan yang memberi kesan kepada penerbangan Malaysia Airlines (MAS), Firefly, dan Amal baru-baru ini adalah gangguan biasa malah ia pernah juga dihadapi syarikat penerbangan lain.

Ringkasan AI
  • Gangguan Biasa: Baru-baru ini, terdapat beberapa insiden teknikal yang mempengaruhi penerbangan MAS, Firefly, dan Amal.
  • Pengurangan Penerbangan: Malaysia Aviation Group (MAG) telah mengumumkan pengurangan sementara penerbangan hingga Disember 2024 untuk memastikan kebolehpercayaan jangka panjang armada dan operasi yang kukuh.
  • Audit dan Keselamatan: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang melakukan audit khas terhadap insiden-insiden yang melibatkan pesawat Malaysia Airlines.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, masalah sama pernah melanda Cathay Pacific, Singapore Airlines dan Thai Airlines namun beliau hairan mengapa hanya isu berkaitan MAS diperbesarkan.
Jelasnya, Kementerian Pengangkutan mengambil maklum perkara tersebut namun beliau berpandangan adalah tidak wajar mempertikaikan profesionalisme dan keupayaan MAS dalam menangani isu teknikal tersebut.
“Dia (MAS) bukannya nak suka-suka alihkan penerbangan. Anda perlu faham, untuk penerbangan diubah haluan atau kembali ke lapangan terbang, kos tinggi kepada mereka.
“Ubah haluan sahaja memang akan menyebabkan banyak kerugian kepada syarikat penerbangan tetapi tindakan itu diambil demi keselamatan penumpang.
“Walaupun ada sedikit sahaja keraguan...maka penerbangan itu diubah haluan, lebih baik lambat, biar selamat.
“Walaupun ada gangguan kepada penumpang, saya harap semua faham. Jangan tunggu ada insiden lebih besar pula berlaku nanti tuding jari pula kepada MAG dan syarikat penerbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada Isnin.
Tambahnya, syarikat penerbangan melakukan prosedur operasi standard (SOP) yang betul dan menjamin keselamatan penumpang terlebih dahulu.
Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sudah melaksanakan audit khas terhadap beberapa insiden membabitkan pesawat daripada Malaysia Airlines.
Anthony Loke, berkata beliau akan membentangkan penemuan daripada audit terbabit pada mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.
“Kita sudah hubungi pihak MAS, malah sebelum ini pun kita sudah lancarkan siasatan sebab ada (beberapa) insiden sebelum ini (seperti berpatah balik, gelora udara) dan CAAM sudah melakukan audit khas ke atas MAG (Malaysia Aviation Group).
“Saya akan melaporkan (maklumat dalam audit) kepada Kabinet Rabu ini.
“Sudah pasti tindakan susulan diambil oleh CAAM. Kita memandang serius dengan apa yang berlaku di MAG,” ujarnya lagi.
#Anthony Loke #Malaysia Airlines #MAS #gangguan teknikal #MAG #Kapten Izham Ismail