Bukan halang tugas wartawan, ini soal keselamatan pemimpin negara - Zahid
Harits Asyraf Hasnan
Mac 13, 2016 16:59 MYT
Mac 13, 2016 16:59 MYT
Tindakan dua wartawan Australia yang ingkar arahan pihak keselamatan Malaysia disifatkan sebagai melanggar etika kewartawanan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata mana-mana wartawan tidak kira sama ada wartawan tempatan mahupun asing perlulah mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Katanya, halangan kepada pihak media itu tidak bererti kerajaan menyekat hak wartawan sebaliknya ia juga berkait dengan faktor keselamatan pemimpin negara.
"Oleh kerana kerjaya kewartawanan ini mempunyai etika...apatah lagi ia dilakukan oleh warga asing, maka kita melihat bahawa ada suatu ketika di mana VVIP (pemimpin negara) harus diberi langkah-langkah keselamatan.
"Tentunya pihak berkuasa keselamatan terpaksa meletakkan keutamaan dalam menjaga keselamatan VVIP dan ini tidak harus dilihat sebagai halangan terhadap kebebasan akhbar dan media.
"Tindakan yang dilakukan itu adalah untuk menentukan tataetika kewartawanan di Malaysia diikuti dan soal keselamatan harus diberikan keutamaan oleh pihak berkuasa dan mana-mana wartawan harus menghormati peraturan dari segi menjaga keselamatan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di sini hari ini.
Justeru, beliau berharap petugas media dapat menjalankan tugas mengikut etika kewartawanan selain memahami tugas pihak berkuasa yang menjaga keselamatan pemimpin negara.
Katanya, dua individu tersebut kini telah diberi jaminan di mana pihak polis akan mengambil tindakan susulan berhubung kejadian tersebut.
Semalam, dua petugas media saluran berita Australia, mengesahkan wartawannya Linton Besser dan jurukamera Louis Eroglu di tahan pada majlis turun padang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Hj Baki dekat sini.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Peguam Negara hari ini menegaskan ia akan menentukan tindakan sewajarnya terhadap dua warga Australia yang ditahan selepas merempuh kawalan keselamatan kerana cuba menemu bual perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malam tadi.
#Ahmad Zahid Hamidi
#Tindakan dua wartawan Australia yang ingkar arahan pihak keselamatan Malaysia disifatkan sebagai melanggar etika kewartawanan