Bukan dilibas senjata tajam, lelaki ditemui maut disahkan diserang haiwan

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 23, 2022 17:06 MYT
Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh hari ini mendapati mangsa mengalami kehilangan darah yang serius. - Gambar hiasan
IPOH: Punca kematian seorang lelaki yang ditemui maut dengan luka pada leher di hadapan rumahnya di Kampung Merua, dekat sini, semalam, disahkan akibat serangan haiwan.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh hari ini mendapati mangsa mengalami kehilangan darah yang serius disebabkan luka serangan itu.
Selain itu, katanya lelaki berusia 58 tahun itu juga didapati positif COVID-19 dan mengalami saluran darah jantung tersumbat.
Sehubungan itu, katanya kes berkenaan yang sebelum ini disiasat sebagai bunuh, diklasifikasikan semula sebagai kematian mengejut (SDR).
“Pemeriksaan luaran si mati dapati terdapat luka di bahagian muka kiri dan leher dan beberapa helai bulu di sekeliling luka tersebut. Luka pada si mati berpadanan dengan haiwan seperti anjing atau seumpamanya.
“Pemeriksaan dalaman pula menunjukkan dua saluran darah jantung si mati telah tersumbat dengan keadaan yang teruk. Si mati juga mengalami jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, mayat Norzi Jaafar ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan luka di leher dipercayai akibat dilibas senjata tajam.
Siasatan mendapati lelaki itu masih bujang dan tinggal seorang diri di rumahnya.
#lelaki ditemui maut #dilibas senjata tajam #kampung merua #serangan anjing
;