Bukan daging sahaja, kayu pun cuba diimport secara tidak sah ke negara ini

Dewi Nur Harasha Alias
April 11, 2021 17:11 MYT
MAQIS mendapati barang dagangan diimport dari Australia dan Hungary itu gagal mematuhi syarat import dinyatakan dalam permit. - Gambar/ MAQIS
BUTTERWORTH: Bukan daging sahaja cuba diimport secara tidak sah ke negara ini, kayu juga tidak terkecuali.
Terbaharu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang petang Sabtu menggagalkan cubaan sebuah syarikat pengimport membawa masuk kayu spesies Sawn Timber bernilai lebih RM500,000 dari Australia dan Hungary.
Tiga kontena yang membawa masuk 83.966 meter kubik (MTQ) muatan kayu itu ditahan dalam pemeriksaan rutin di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), Butterworth, jam 5.32 petang.
Menurut Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Noriah Dahlan, pihaknya mendapati barang dagangan diimport dari Australia dan Hungary itu gagal mematuhi syarat import yang dinyatakan pada permit import yang diluluskan oleh Jabatan MAQIS.
“Oleh itu, kesemua kayu itu terpaksa dirampas untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 15(2) akta yang sama.
Noriah berkata, MAQIS sentiasa memantau semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian, ikan dan haiwan yang masuk atau keluar dari negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Katanya, pemeriksaan itu juga bagi memastikan pengimport sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan selain memastikan keselamatan semua bekalan makanan dan dagangan yang masuk ke negara ini.
#daging #kartel daging #kayu #maqis #cuba import kayu #tidak sah #Sawn Timber #Australia #Hugary #pulau pinang #kontena
;