Bukan berbulan madu, Chatime sahkan Neelofa ke Langkawi atas urusan kerja
Umavathi Ramayah
Mac 31, 2021 09:22 MYT
Mac 31, 2021 09:22 MYT
KUALA LUMPUR : Pembekal makanan dan minuman terkemuka, Chatime Malaysia Sdn Bhd tampil menjelaskan kekeliruan berhubung kontroversi mengaitkan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail atau PU Riz, yang didakwa sedang berbulan madu di Pulau Langkawi.
Pengarah Urusan Kumpulan, Aliza Ali memberitahu pengacara dan usahawan itu dan suaminya sedang melakukan lawatan kerja ke tiga lokasi di zon utara iaitu Sungai Petani dan Langkawi, Kedah dan Kangar, Perlis bagi tujuan pembukaan cawangan baharu Chatime.
Katanya, lawatan itu turut membabitkan beberapa kakitangan dan bahagian operasi serta pengurusan Chatime Malaysia.
"Kita juga memperolehi kebenaran merentas negeri ke Langkawi diperoleh dari balai polis mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Diharapkan kenyataan ini dapat memberi pencerahan kepada segala kesulitan," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Instagram (IG) Chatime Malaysia di sini, semalam.
Polis Daerah Brickfields, dalam pada itu, mengesahkan memberi kebenaran kepada Neelofa dan tiga yang lain ke Pulau Langkawi atas urusan kerja dan bukan untuk berbulan madu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, mengikut permohonan itu, mereka dibenar bergerak ke lokasi tujuan bermula 27 Mac hingga 4 April ini, lapor Berita Harian.
"Hasil semakan pada borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditandatangani oleh Ketua Polis Balai, Balai Polis Sri Hartamas, sebab pergerakan keluar empat individu ini adalah untuk urusan kerja.
"Syarikat terbabit turut mengeluarkan surat memaklumkan nama Neelofa dan tiga yang lain berserta nombor kad pengenalan sebagai mewakili mereka untuk melawat kawasan Chatime yang akan dibuka," katanya kepada Berita Harian, hari ini.
Basri berkata, berdasarkan jadual pergerakan. lokasi yang akan dituju empat penama terbabit ialah Langkawi, Sungai Petani, dan Kangar, Perlis.
"Mereka dijadual tiba di Langkawi pada 29 Mac dan akan berada di sana sehingga 2 April sebelum melawat cawangan Chatime di Sungai Petani dan Kangar pada 3 April.
"Justeru, saya tegaskan kebenaran permohonan yang dikeluarkan oleh Balai Polis Sri Hartamas adalah atas urusan kerja dan bukan untuk tujuan berbulan madu," katanya.
Beliau berkata, polis di lokasi terbabit boleh mengambil tindakan sekiranya terbukti kehadiran selebriti itu adalah untuk tujuan berbulan madu.
Kelmarin, pasangan kontroversi itu sekali lagi mencuri perhatian apabila beberapa gambar merentas negeri untuk berbulan madu di Pulau Langkawi, tular.
Menerusi gambar tersebar, Neelofa dan suaminya dilihat berada di lapangan terbang serta dalam penerbangan dipercayai menuju ke pulau peranginan itu.
Rata-rata netizen tidak berpuas hati dan mempersoalkan bagaimana pasangan itu dibenarkan merentas negeri sebagaimana yang didakwa.
Pasangan ini melangsungkan pernikahan dalam satu majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka di sini, Sabtu lalu.