Bukan bahasa Malaysia, tapi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ASEAN - PM
Hasimi Muhamad
Mei 22, 2022 12:02 MYT
Mei 22, 2022 12:02 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tidak pernah terlintas di fikiran kerajaan untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa ASEAN.
Sebaliknya, jelas Perdana Menteri, hasrat yang ingin dirintis beliau ialah menjadikan bahasa Melayu yang turut diguna pakai di beberapa negara jiran sebagai bahasa pengantar.
Justeru, tegas beliau, disebabkan salah faham itu menyebabkan hasratnya itu menjadi sasaran kritikan segelintir pihak termasuk sahabat-sahabat Malaysia di negara jiran.
“Tidak ada sebab kenapa kita tidak yakin dengan penggunaan bahasa kita.
“Kita gunakan bahasa Melayu sebagai induk tetapi cabangnya ada bahasa Melayu - Malaysia; Melayu - Indonesia; Melayu - Brunei; Melayu - Singapura dan Melayu - Selatan Thailand.
“Tetapi bahasa induk adalah bahasa Melayu. Mungkin ada orang silap faham seolah-olah bahasa Malaysia ini nak dijadikan bahasa ASEAN.
“Jadi, ramai kawan kita di negara jiran mengkritik… mungkin pemahamannya silap,” katanya dalam sidang media selepas merasmilan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, pada Ahad.
Simposium tersebut merupakan cetusan idea dan gagasan Perdana Menteri, yang bertujuan memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa perdagangan semasa zaman Kesultanan Melayu.
Dalam masa sama, beliau menafikan dakwaan bahawa bahasa Melayu tidak boleh dijadikan sebagai bahasa ilmu.
“Saya percaya rombongan dalam negara China yang datang ke Melaka tidak menggunakan bahasa Inggeris ketika itu, tidak menggunakan bahasa China tetapi menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa mereka atau diterjemahkan kepada bahasa Melayu.
“Begitu juga semasa kedatangan Portugis ke Melaka, waktu itu saya percaya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara.
“Jadi kalau kata bahasa komersial tidak boleh bahasa Melayu, kita telah buktikan bahawa bahasa Melayu telah pun menjadi bahasa lingua franca ketika itu,” ujarnya lagi.
Perdana Menteri bercita-cita mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN memandangkan lebih 300 juta penduduk di rantau itu menggunakannya sebagai bahasa pertuturan sekali gus menjadikan ia bahasa ketujuh jumlah penutur teramai di dunia.