"Bukan anak saya pembawa virus varian Afrika Selatan" - Nik Abduh
Sinar Harian
Mei 10, 2021 16:07 MYT
Mei 10, 2021 16:07 MYT
KOTA BHARU: Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menafikan anaknya membawa 'pulang' virus Afrika Selatan sehingga mencetuskan kluster Bunut Sarang Burung sebagaimana yang tular di Facebook pada Ahad.
Nik Mohamad Abduh berkata, mengikut makluman daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) varian itu telah menjangkiti seorang remaja berusia 16 tahun sehingga mencetuskan kluster.
"Anak saya berusia 26 tahun, memang betul dia belajar di Afrika Selatan dan pulang ke Kelantan pada 5 April lalu tetapi itu pun selepas selesai menjalani kuarantin wajib selama 10 hari di Kuala Lumpur sebagaimana disyaratkan oleh kerajaan.
"Dia akan kembali semula ke negara berkenaan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, dia dan keluarga tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang telah menyebarkan berita palsu tersebut.
"Biar mereka (penyebar) buat pahala banyak-banyak di bulan Ramadan ini," katanya.
Pada 5 April lalu, anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan itu memuat naik status di entri laman sosial miliknya berkongsi kegembiraannya menyambut kepulangan anak sulungnya yang pulang bercuti dari Afrika Selatan.
Bagaimanapun, pada Ahad tular tangkap layar Facebook yang mempersoalkan kepulangan anak sulung Nik Mohamad Abduh ke Kelantan sama ada menjalani kuarantin atau tidak.
Artikel asal ini disiarkan di Sinar Harian pada Isnin.
#Afrika Selatan
#COVID-19
#Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
#Facebook
#Ahli Parlimen Bachok
#Kementeria Kesihatan Malaysia
#KKM
#Hari Raya Aidilfitri
#Ramadan