Buka untuk bukan bumiputera? 'Dasar UiTM masih kekal' - Zambry

Hasimi Muhamad
Jun 26, 2024 13:10 MYT
Zambry berkata pengekalan dasar itu masih perlu dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan merapatkan jurang antara kaum terutamanya melibatkan aspek sosioekonomi. - Foto fail/ JaPen
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan dasar Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk kaum Melayu, Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak masih dikekalkan.

Ringkasan AI
  • Dasar Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk kaum Melayu, Orang Asli, dan anak negeri Sabah dan Sarawak masih dikekalkan bagi merapatkan jurang sosioekonomi antara kaum.
  • Laporan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 menunjukkan bumiputera masih menghadapi jurang ekonomi yang ketara dalam aspek pendapatan, ekuiti korporat, kemiskinan, tenaga kerja mahir, dan kelayakan profesional.
  • Kerajaan sedang mencari pendekatan terbaik untuk menangani isu kekurangan pakar kardiotorasik.

Menurut menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, pengekalan dasar itu masih perlu dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan merapatkan jurang antara kaum terutamanya melibatkan aspek sosioekonomi.
"Laporan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 2024 oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih terdapat jurang ekonomi melibatkan bumiputera dari segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir serta kelayakan profesional.
"Malah, kadar miskin mutlak dalam kalangan bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki.
"Dengan tertubuhnya UiTM, lebih ramai anak-anak bumiputera memperoleh peluang menyambung pengajian dan dilatih untuk mengisi pelbagai jenis jawatan sama ada dalam sektor awam mahupun dalam sektor industri sebagai keperluan dalam meningkatkan kualiti hidup serta mengubah nasib mereka," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada kerajaan bercadang untuk membenarkan bukan bumiputera menuntut di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976.
Mengulas mengenai isu kekurangan pakar kardiotorasik sehingga mencetuskan kontroversi membabitkan UiTM, Zambry menjelaskan berlaku kekeliruan interpretasi oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
"Kita telah berusaha untuk mencari pendekatan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah khusus kepada empat tenaga pakar yang telah tamat melalui 'parallel pathway'.
"Di sinilah timbul sedikit salah faham yang (kursus) hanya terdapat di UiTM. Bagaimanapun di peringkat kementerian, kita cuba mencari pendekatan yang terbaik bagaimana kita nak selesaikan masalah itu," katanya.
Justeru bagi menyelesaikan masalah berkenaan, beliau berkata satu perbincangan bersama Universiti Malaya (UM) telah dilakukan dan mereka sedang merancang untuk memperkenalkan kursus itu.
#Dasar Uitm masih kekal #UiTM untuk Bumiputera #Zambry Abd Kadir
;