Buka sempadan: Program Peniaga Visa tawar diskaun sehingga 30 peratus kepada pelancong
Fareez Azman
Mac 31, 2022 19:34 MYT
Mac 31, 2022 19:34 MYT
KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia dan pemimpin dunia dalam pembayaran digital, Visa Malaysia hari ini menandatangani kerjasama dan melancarkan Program Peniaga Pilihan Visa (VPM).
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, program VPM itu memberikan tawaran diskaun sehingga 30 peratus kepada pemegang kad Visa untuk melancong di negara ini.
"Ini adalah salah satu cara untuk menarik lebih ramai orang datang dan berbelanja di Malaysia, pada masa sama rakyat Malaysia juga dapat memanfaatnya terutama dalam sudut produk tempatan.
"Ini bukan hanya untuk pelancong dari luar negara, pelancong domestik juga boleh mendapat manfaat ini. Memang kita menggalakkan pembayaran tanpa tunai," katanya.
Terdahulu, Majlis Menandatangani Kerjasama Tourism Malaysia dan Visa Malaysia disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu bersama Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon di ibu negara pada Khamis.
Jelas Nancy lagi, pemegang kad Visa boleh menikmati tawaran eksklusif dalam aktiviti membeli belah, penginapan, hiburan dan perubatan di negara ini.
Ia sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan sempena pembukaan sempadan 1 April ini.
"Pada masa sama Visa turut menawarkan diskaun kepada pemegang kad Visa seperti penginapan, sebanyak 30 peratus diskaun. Ini adalah baik buat negara dan pemegang kad Visa," katanya.
Dalam pada itu, Kong Boon berkata menerusi kerjasama itu ia dijangka dapat mendorong pertumbuhan pelancongan dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pasca pandemik.
"Visa teruja untuk melanjutkan kerjasama kami dengan Tourism Malaysia dan memulakan kempen ‘Home Away From Home’. Dengan pembukaan semula sempadan, kami berharap untuk mendorong pertumbuhan pelancongan dan mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan pasca pandemik.
"Perkembangan ini satu berita baik buat perniagaan dan pemegang kad setia kami yang tidak sabar untuk melancong di dalam dan luar negara.
"Visa bercadang untuk memberikan manfaat dan ganjaran kepada pemegang kad menerusi program Peniaga Terpilih Visa kami supaya mereka boleh menikmati perjalanan dan pengalaman pembayaran yang lancar," katanya.
Untuk rekod, Malaysia menerima ketibaan 26.1 juta pengunjung pada tahun 2019 dengan perbelanjaan mencecah RM86.1 bilion.
#Visa Malaysia
#Touism Malaysia
#Nancy Shukri
#Peniaga Pilihan Visa
#VPM
#pelancongan
#buka sempadan