Buka sempadan: Pintu masuk utama negara kembali meriah, 10,000 pelancong tiba hari ini
Umavathi Ramayah
April 1, 2022 16:50 MYT
April 1, 2022 16:50 MYT
SEPANG: Setelah lebih dua tahun berada dalam keadaan suram akibat pandemik COVID-19, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini kembali meriah dengan kedatangan pengembara dari seluruh dunia.
Pada pukul 10.14 pagi, Malaysia menyambut ketibaan pesawat antarabangsa dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mendarat di KLIA dengan sambutan meriah dan penuh simbolik sempena pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April.
Pesawat ETIHAD EY0418 yang dinaiki 283 penumpang dan kru dari Eropah, Asia Barat serta rakyat tempatan disambut dengan semburan air sebagai gimik selamat datang ke Malaysia.
Kedatangan mereka turut disambut oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Sementara itu, Nancy memberitahu, seramai 10,000 pengembara asing dijadualkan tiba menerusi lapan pintu masuk udara pada hari pertama Fasa Pperalihan ke Endemik.
Beliau memberitahu, kementeriannya menyasarkan kehadiran kira-kira dua juta pelancong asing pada tahun ini dengan keuntungan melebihi RM6.8 bilion
"Sebenarkan kita meletakkan sasaran dua juta pelancong asing tahun ini. Namun saya optimis dapat mengubah angka itu dalam tempoh terdekat dengan kemasukkan pelancong dari Singapura sendiri merekodkan satu juta dalam masa dua minggu.
"Pada masa yang sama kita ada kemasukan pesawat dari negara-negara lain. Saya rasa optimis dan akan terus memantau angka ini dalam tiga bulan yang akan datang.
"Saya optimis dalam memastikan angka itu meningkat dan kita juga mula dengan 'iklim' baharu memastikan pelancong benar-benar menikmati percutian mereka di sini dan sudah tentu membelanjakan wang," katanya pada sidang media di KLIA di sini.
Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) kementerian itu, Datuk Zakaria Shaaban berkata, Jabatan Imigresen membuka 50 peratus kaunter di pintu masuk udara di lapangan terbang antarabangsa seluruh negara apabila sempadan mula dibuka hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 183 kaunter Imigresen di pintu masuk udara dibuka hari ini, selain 151 pintu keluar beroperasi.
Pembukaan 50 peratus kaunter itu membabitkan KLIA, klia2, Kota Kinabalu, Kuching, Miri, Langkawi, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senai di Johor.
"Pintu masuk udara dan darat itu akan dibuka mengikut keperluan semasa dan bergantung kepada jumlah ketibaan pengembara dari luar negara," ujarnya.
Terdahulu, pesawat Saudi Airlines dari Jeddah, Arab Saudi yang membawa jemaah umrah tempatan menjadi pesawat pertama mendarat di KLIA kira-kira 1 pagi Jumaat.
Sementara itu, sebuah pesawat sewa khas dari Yangon, Myanmar yang membawa 21 penumpang pula tiba kira-kira 3.15 pagi di KLIA.
AirAsia, antara syarikat penerbangan utama di klia2, memaklumkan terdapat 12 penerbangan antarabangsa yang dikendalikannya hari ini iaitu dari Kemboja, Vietnam, Indonesia, Singapura, Thailand, Bangladesh, Filipina dan India.
Penerbangan antarabangsa AirAsia pertama yang mendarat di klia2 pada Jumaat ialah AK52 dari Bengaluru, India pada kira-kira 6.20 pagi.
Berdasarkan jadual penerbangan yang telah difailkan, dua terminal di KLIA akan menerima 110 penerbangan, antaranya adalah dari Hong Kong, Melbourne, New Delhi, Doha, Istanbul dan London.