Buka sempadan: Padang Besar lengang, hanya 8 individu masuk ke Thailand
Abd Hadi Che Awang
Mei 5, 2022 13:50 MYT
Mei 5, 2022 13:50 MYT
PADANG BESAR: 'Sunyi dan lengang.'
Itu situasi yang boleh digambarkan pada hari pertama pembukaan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, hari ini.
Keadaan itu tidak ubah seperti apa yang berlaku di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Wang Kelian, Perlis, 1 April lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan Negeri Perlis, Ruzaini Rais, hanya lapan individu memasuki negara Thailand manakala tiada individu yang memasuki negara Malaysia melalui pintu sempadan berkenaan pada tiga jam terawal pembukaannya.
Jelasnya, situasi yang berlaku berkemungkinan disebabkan beberapa faktor termasuk tiada persiapan rapi dalam menyiapkan dokumen yang diperlukan selain tidak mendapat maklumat lanjut mengenai pembukaan pintu sempadan terbabit.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan akan berlaku peningkatan dari segi jumlah individu yang memasuki kedua-dua negara khususnya dalam masa beberapa minggu akan datang.
"Untuk data yang saya perolehi daripada pihak Imigresen, rakyat Malaysia yang ke Thailand seramai lapan orang dan rakyat Malaysia ke Thailand masih belum ada seorang pun lagi.
"Kalau kita lihat Wang Kelian sebelum ini, pada hari pertama tidak ramai juga, saya rasa dimana-mana (pintu) sempadan (Malaysia-Thailand) pun macam itu.
"(Ianya) mungkin (disebabkan) para pengembara dan pelancong (belum) buat persediaan dari segi 'border pass', mungkin hari ini mereka perlu mohon (untuk kemas kini atau memohon pas baharu), mungkin persediaan (beberapa) benda (atau dokumen) lain, khususnya kelengkapan dari segi (SOP) untuk kelengkapan masuk ke Thailand dan Thailand ke Malaysia," katanya.
Ruzaini berkata demikian ketika sidang media sempena pembukaan pintu sempadan Padang Besar-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan bahawa pembukaan dua pintu sempadan termasuk di Wang Kelian dan terbaharu di Padang Besar akan merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri Perlis.
Terdahulu, pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dibuka hari ini dan menjadi pintu sempadan ketiga Malaysia-Thailand selepas pembukaan pintu sempadan Wang Kelian, Perlis dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Pengarah Imigresen Perlis, Khairul Amin Taib, berkata pengembara dari Thailand yang memasuki negara melalui pintu sempadan itu juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).