Buka sempadan negara: Langkah terbaik namun perlu perkemas SOP - Pakar

Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 20, 2022 13:13 MYT
Shamsul berkata, bagi memudahkan lagi proses pemantauan dan pengesanan, setiap pelancong yang datang juga perlu diwajibkan untuk mengaktifkan aplikasi MySejahtera sepanjang mereka berada di negara ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Cadangan oleh kerajaan untuk membuka sempadan negara kepada pelancong asing pada suku kedua tahun ini adalah langkah yang pratikal bagi menyuburkan lagi industri pelancongan selain memulihkan ekonomi negara.
Bagaimanapun menurut Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Ts Dr Shamsul Bahari Shamsudin, pembukaan perlu disusuli dengan SOP yang komprehensif dan bersesuaian.
“Cadangan ada diberikan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebelum ini iaitu kebenaran rentas sempadan negara tanpa kuarantin wajib. Permintaan ini mungkin boleh dipertimbangkan kepada individu atau warga asing yang telah lengkap dua dos vaksin dan juga telah mengambil dos penggalak.
“Mereka juga perlu menjalani ujian pengesahan COVID-19 sebelum memasuki negara ini dalam tempoh 48 jam sebelum masuk ke Melaysia,” jelasnya kepada Astro AWANI.
Tambahnya lagi, sekiranya keputusan ujian yang dijalani oleh individu ataupun pelancong berkenaan tidak menunjukkan tanda positif dijangkiti COVID-19 maka seharusnya tiada halangan untuk membenarkan mereka memasuki negara ini.
Sebaliknya bagi mereka yang telah memasuki negara ini dan didapati positif maka mereka hendaklah menjalani proses kuarantin yang sewajarnya.
BACA: Buka sempadan negara: Khairy jangka boleh dilakukan pada suku kedua 2022
Bagaimanapun katanya, petugas-petugas barisan hadapan yang berada di pintu sempadan negara haruslah dilengkapi dengan sistem pemeriksaan yang lengkap bagi memastikan sijil-sijil vaksinasi dan keputusan ujian COVID-19 adalah tulen.
Ia memandangkan kebelakangan ini wujudnya isu membabitkan pemalsuan oleh individu tidak bertanggungjawab terhadap sijil vaksin.
Bagi memudahkan lagi proses pemantauan dan pengesanan, setiap pelancong yang datang juga perlu diwajibkan untuk mengaktifkan aplikasi MySejahtera sepanjang mereka berada di Malaysia.
Dalam pada itu mereka juga dicadangkan mendapatkan perlindungan insurans untuk jangka masa pendek iaitu sepanjang tempoh berada di Malaysia sebagai langkah awal.
Ia bertujuan untuk mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung negara seandainya mereka dijangkiti COVID-19 dan memerlukan sebarang bentuk rawatan.
#COVID-19 #ekonomi #Malaysia #MySejahtera #pembukaan sempadan
;