Buka sempadan negara: Khairy jangka boleh dilakukan pada suku kedua 2022

Firdaus Azil
Februari 19, 2022 17:57 MYT
hairy berkata, KKM akan diberi masa antara dua ke tiga minggu untuk menyediakan garis panduan berkaitan, sebelum dibincang di peringkat seterusnya. - Astro AWANI
BATU PAHAT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan sekitar dua minggu untuk menyiapkan garis panduan mengenai pembukaan semula negara, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.
Namun, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, tidak semestinya sempadan negara akan terus dibuka selepas dua minggu dari tarikh hari ini.
Jelasnya lagi, KKM tidak boleh membuat keputusan itu secara bersendirian, sebaliknya harus melalui beberapa peringkat, sebelum akhirnya diluluskan oleh Kabinet.
“Lepas (SOP) siap, saya akan bentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19 Perdana Menteri pengerusikan, perinciannya saya akan bentangkan pada Kuartet Menteri Menteri COVID-19.
“Akhirnya saya akan bawa kepada Jemaah Menteri. Ini tak boleh dibuat di KKM saja, ini kena melalui beberapa peringkat, sebelum dilaksanakan. Tapi saya jangkakan, dua minggu untuk kita siapkan, mungkin suku tahun kedua, adalah satu timeline realistik, tapi tarikhnya biar Perdana Menteri tentukan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (Peka B40) di Klinik Kurnia, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perlu ada keseimbangan yang tepat antara keperluan merancakkan ekonomi, serta kebimbangan rakyat tentang penularan COVID-19, sebelum keputusan membuka sempadan negara boleh dicapai.
Beliau berkata, KKM akan diberi masa antara dua ke tiga minggu untuk menyediakan garis panduan berkaitan, sebelum dibincang di peringkat seterusnya.
#Sempadan Negara #Khairy Jamaluddin #KKM #SOP
;