Buka sempadan: Jangan seberang secara haram - Ketua Polis Kelantan
Vivi Sumanti
Mac 19, 2022 15:37 MYT
Mac 19, 2022 15:37 MYT
KOTA BHARU: Polis Kelantan mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan laluan haram atau pangkalan haram untuk menyeberang ke Thailand apabila sempadan mulai dibuka pada 1 April kelak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan rentas sempadan yang bakal dikeluarkan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara mungkin akan ketat bagi mengekang penularan COVID-19.
"Kita akan tingkatkan kawalan dan kemungkinan SOP akan lebih ketat di dua negara (Malaysia dan Thailand), jadi jangan nak rentas secara haram dan jangan ambil kesempatan menggunakan laluan di pangkalan haram kerana polis sentiasa memantau.
"Kita menjangkakan peraturan dan SOP yang bakal dikeluarkan di negara jiran juga ketat kerana mereka juga akan melihat kesan awal dari pembukaan sempadan," katanya kepada pemberita selepas program kayuhan Fun Ride di sini hari ini.
Shafien pada masa sama mengingkatkan rakyat Kelantan supaya menangguhkan dahulu hasrat untuk merentasi sempadan jika sekiranya tiada hal yang benar-benar penting.
Ini kerana katanya peningkatan kes Covid19 di Kelantan pada waktu ini membimbangkan.
" Kalau tak ada hal penting tangguhkan dahulu rentas sempadan (apabila sempadan dibuka) kita bimbang kes (Covid19) yang tinggi pada masa ini" ujarnya lagi.
Beliau berkata dalam tempoh dua minggu sebelum sempadan di buka, pihak Polis akan bersiap sedia mengatur perancangan dan pengawalan sebagai langkah awal persediaan pembukaan sempadan.
" Kita siap sedia atur program sebagai langkah berjaga jaga, melalui Polis Marin, Pasukan Gerakkan Am, PGA akan mempertingkatkan kawalan dan pemantauan buat rondaan secara besar besaran, pada masa sama saya minta Ketua Polis Daerah yang berada di daerah sempadan meningkatkan kawalan" ujarnya lagi.
Menurut Shafien lagi, setakat ini SOP berkaitan rentas sempadan belum.dikeluarkan lagi samada di Pihak Berkuasa Tempatan, PBT dan juga Kerajaan Persekutuan (Majlis Keselamatan Negara, MKN dan Kementerian Kesihatan).
Untuk rekod terdapat lebih 90 pengkalan atau laluan haram sepanjang Tumpat hingga ke Tanah Merah yang dikesan dengan 30 pengkalan haram berkenaan masih aktif untuk aktiviti penyeludupan dan sebagainya.
Di Kelantan pula terdapat tiga pintu sempadan masing masing di Kompleks pemeriksaan Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICIQ) Rantau Panjang, Pasir Mas, Pengkalan Kubor, Tumpat dan Bukit Bunga, Tanah Merah.
Kawalan sempadan dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia, ATM dan juga PGA.